Skip to main content

Ramadan Pengukur Toleransi Beragama di Malaysia

Saban tahun semua kaum di Malaysia tidak kira yang Islam dan bukan Islam bersama-sama menyambut bulan Ramadan dalam keadaan yang aman dan damai. Inilah hadiah istimewa dari rakyat untuk negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama, budaya dan kepercayaan. 

Sebagai sebuah negara masyarakat majmuk, sambutan Ramadan disambut meriah dan dapat diterima oleh semua kaum. Ada sesuatu yang sangat unik berlaku di Malaysia apabila menjelang Ramadan berbanding dengan negara lain. Apakah kelainan tersebut? Mengapa ia dianggap istimewa? 

Pertama sekali, ia istimewa kerana wujudnya bazar Ramadan di seluruh Malaysia. Mana-mana bazar sentiasa dipenuhi pengunjung tidak kira orang Melayu dan bukan Melayu bersama-sama memeriahkan susasana. Apa tidaknya, di bazar terdapat banyak jenis makanan yang mungkin sukar untuk ditemui semasa hari-hari biasa. Di sini anda akan melihat semua kaum dapat bertemu dan bersama-sama memberi sokongan kepada peniaga bazar. Suasana sebegini hanya terdapat di Malaysia. Walaupun berlainan agama, semua kaum dapat merasai kemeriahan membeli-belah di bazar Ramadan. Jika dahulu bazar hanya dikunjungi oleh orang Islam yang berpuasa tetapi kini anda akan lihat masyarakat bukan Islam juga tidak ketinggalan untuk mengunjungi bazar Ramadan bagi mendapatkan makanan kegemaran mereka.

Perkara yang kedua adalah, masyarakat bukan Islam sangat memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Tarawih pada waktu malam. Ini merupakan perkara yang sangat berharga bagi negara Islam seperti Malaysia memandangkan umat Islam di negara lain ada kalanya diganggu semasa mereka menunaikan solat Tarawih. Bukan itu sahaja, masyarakat bukan Islam di negara ini sangat bertoleransi apabila masyarakat Islam menunaikan fardu Jumaat dengan tidak menganggu lalu lalang sekitar masjid. Secara amnya, perkara berkaitan agama Islam seperti laungan azan setiap kali waktu solat serta tumbuhnya bazar-bazar Ramadan disambut baik oleh semua masyarakat bukan Islam di negara ini.

Perkara paling menyentuh masyarakat Islam di Malaysia adalah apabila ada dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang turut sama merasai berpuasa bersama-sama dengan rakan muslim yang lain. Mereka bukan sahaja berpuasa satu atau dua hari, malahan ada yang berpuasa cukup sebulan untuk mereka merasai betul-betul erti puasa penuh. Ini dapat kita lihat ada antara rakan bukan Islam yang memuat turun dan berkongsi aktiviti seharian mereka menjalani ibadah puasa di media-media sosial. Di samping berkongsi perasaan, mereka juga turut berkongsi tempat-tempat bersahur dan berbuka di beberapa tempat bagi membantu peniaga dan orang Islam untuk mencari pot tempat bersahur dan berbuka. Ini secara tidak langsung, menunjukkan bahawa masyarakat bukan Islam turut sama membantu dan mempromosikan peniaga Melayu melariskan perniagaan mereka. Siapa yang kata bangsa Malaysia dengki dalam perniagaan? Inilah yang dikatakan rezeki dikongsi bersama rakyat Malaysia. 

Perbezaan agama dan kepercayaan bukan penghalang untuk membantu memajukan perniagaan bangsa lain apatah lagi yang berniaga pada bulan Ramadan adalah majoritinya orang Melayu. Kekukuhan dan toleransi beragama semasa Ramadan ini dapat disaksikan lagi apabila ada rakan sekerja yang bukan Islam mengadakan majlis berbuka kepada rakan-rakan Islam. Adalah menjadi satu kebiasaan di sesuatu organisasi, bos bukan Islam manakala pekerja orang Islam. Bos mengadakan majlis berbuka kepada staf dan ada staf yang bukan Islam juga turut berpuasa bagi meraikan majlis berbuka puasa di tempat kerja, dan ada juga bos yang mengadakan majlis berbuka puasa di hotel-hotel. Inilah yang dikatakan toleransi kaum di tempat kerja. Justeru, dapat dilihat majlis berbuka puasa di hotel biasanya diwarnai dengan kehadiran pelbagai kaum bagi memeriahkan suasana berbuka umat Islam. 

Ramadan Pengukur Toleransi Beragama di Malaysia

Bulan Ramadan juga menyaksikan individu bukan Islam yang turut sama menjalankan misi memberi bantuan makanan kepada orang Islam yang berpuasa sama ada dalam bentuk makanan atau wang ringgit. Ada dalam kalangan orang bukan Islam yang berkemampuan bersama-sama rakan bangsa Melayu mengedarkan makanan untuk berbuka kepada gelandangan, golongan miskin dan juga golongan yang tidak berkeupayaan untuk menyediakan juadah berbuka. Ini banyak kita lihat di bandar-bandar besar yang mana terdapat ramai masyarakat yang kurang kemampuan. Di sini dapat dilihat walaupun mereka tidak bersama-sama berpuasa, tetapi mereka sanggup menyumbang tenaga dan wang ringgit untuk turun mengagihkan bantuan kepada masyarakat Islam. Bukan itu sahaja, ada antara mereka ini yang memberi bantuan baju raya dan lain-lain keperluan raya seperti kuih-muih. Jadi, di sini tiada sempadan agama dalam membantu sesama masyarakat. Ada juga individu ahli korporat bukan Islam yang menaja majlis berbuka puasa kepada golongan miskin dan asnaf. Ini mencerminkan sifat kemanusiaan yang mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlainan agama. 

Selain itu, tidak dilupakan ada antara organisasi milik bukan Islam yang memberi kelonggaran untuk pekerjanya balik awal dari waktu biasa bagi memberi laluan kepada pekerjanya menyediakan juadah berbuka. Ini merupakan sesuatu yang perlu masyarakat Malaysia hargai iaitu walaupun bekerja di organisasi yang dimiliki oleh orang bukan Islam, ia bukan penghalang untuk mereka saling faham memahami antara satu sama lain. Ini antara sumbangan bagi menghargai pekerja yang beragama Islam selain dari menyediakan tempat untuk mereka bersolat. 

Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah mempunyai rasa toleransi yang tinggi terhadap bangsa dan agama lain bagi memperkukuhkan nilai perpaduan rakyat di negara ini. Kesudian dan kerelaan masyarakat bukan Islam di negara ini yang sanggup bersama-sama berpuasa serta menolong umat Islam menjalankan ibadah puasa harus kita puji dan raikan. Mereka lakukan bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi adalah atas kapasiti mereka sebagai warganegara yang mempunyai tanggungjawab sosial membantu tanpa mengira agama dan bangsa. Mereka sekadar ingin merasai sendiri apa yang rakan Islam mereka rasai kerana dari sinilah akan terbit rasa keinsafan dan kemanusiaan walaupun berbeza agama. 

Dr Hasnah Husiin
Dr. Hasnah Husiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

e-mel: hasnah@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News