Skip to main content

Sinergi UMPSA perluaskan TVET berfokuskan teknologi

KUALA LUMPUR,  3 Mei 2024 - Dijangkakan seramai 100,000 pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Bumiputera akan dilahirkan dengan gaji RM3,000 lebih tinggi dari gaji minimum.  

Kini, negara memerlukan lebih ramai anak muda di Sabah diberikan Pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi menampung permintaan tenaga mahir daripada pelabur asing atau domestik di negara ini.

Pada masa yang sama, negara China menawarkan seramai 2,000 pelajar Malaysia untuk mengikuti program TVET dengan biasiswa penuh ke negara China.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA sebagai universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah melaksanakan pelbagai inisiatif baharu dengan menawarkan program TVET termasuk di Borneo secara pesisir bagi memberi peluang pelajar di Sabah dan Sarawak untuk mengikuti program ini. 

Sinergi UMPSA perluaskan TVET berfokuskan teknologi

“UMPSA sangat komited menyediakan bakat tempatan yang mahir dalam bidang teknologi yang menjadi semakin penting bagi negara untuk memanfaatkan peluang ekonomi berkaitan. 

“Manakala Program Ijazah Dual yang ditawarkan UMPSA juga bakal membuka lebih banyak peluang untuk meneroka kerjasama penyelidikan dan perkongsian kepakaran dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Antara kelebihan yang ditawarkan buat para graduan program ijazah dual termasuklah anugerah ijazah dual dari dua institusi pendidikan (UMPSA dan rakan kerjasama), pendidikan holistik berorientasikan praktikal dan pengiktirafan oleh badan akreditasi malaysia dan antarabangsa,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan ‘Apa Khabar Malaysia Hari Ini’ di Wisma Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA TV).  

Turut sama hadir Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abdul Abdul Wahit. 

Tambah beliau, lain-lain kelebihan yang turut ditawarkan ialah peluang kerjaya di syarikat multinasional dalam dan luar negara, tenaga akademik yang memiliki pengalaman industri, pendedahan pengajaran dan pembelajaran serta latihan industri di luar negara.

“Malah, para pelajar juga berpeluang menjalani gaya pendidikan yang berbeza antara Malaysia dan rakan universiti di luar negara. 

“Selain itu juga, UMPSA telah menjalinkan kerjasama program UMPSA dengan institusi di Jerman yang masuk tahun ke-14 dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan yang terbaharu dengan Mannheim University of Applied Sciences. 

“Komitmen UMPSA untuk memperkasakan aspek pengantarabangsaan universiti turut diperluaskan ke negara China menerusi kerjasama dengan Beijing Jiaotong University serta Tianjin University,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, program yang ditawarkan termasuklah program Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrikal, dan juga Kejuruteraan Kimia. 

“Selain itu, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia kini juga mendorong perluasan kerjasama UMPSA dengan Kazakh National Agrarian Research University di Kazakhstan yang membabitkan bidang Bioteknologi Industri. 

“Seiring dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan bidang teknologi, kolaborasi antarabangsa UMPSA bakal diperluaskan lagi di dua buah negara maju iaitu Korea dan Jepun. 

“Selain itu, pelajar lepasan diploma politeknik melalui kolaborasi strategik MTUN dan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah membuka peluang serta kesinambungan laluan akademik kepada pelajar Politeknik untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda (Teknologi Kejuruteraan) dalam bidang TVET,” katanya. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut berpeluang mengunjungi bilik berita dan Jabatan Pengarang di BERNAMA dengan disambut Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Nasriah Hani Darus, Timbalan Editor Eksekutif 1, Meja Berita, Elmi Rizal Elias dan Eksekutif Kanan, Jabatan Komersial, Izzul Zunnurain Darusamin. 

Dalam pada itu, Profeasor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut mengharapkan bakal pelajar, ibu bapa, kaunselor dan orang ramai agar dapat mengambil peluang untuk mendapatkan penasihatan pendidikan tinggi sempena Karnival Jom Masuk U 2024 (JMU2024) yang  bermula pada 4 Mei  hingga 9 Jun 2024 di sepuluh zon seluruh negara. 

Karnival JMU dijadualkan akan singgah di UMPSA pada 1 dan 2 Jun ini yang akan berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA dengan lebih 70 reruai berkaitan pendidikan tinggi.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri