Skip to main content

FIM GLOBE 2026 perkukuh jaringan antarabangsa dan kompetensi global pelajar UMPSA

PAYA BESAR, 22 Oktober 2026  –  Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menganjurkan FIM GLOBE 2026 (Global Learning Opportunities Beyond Education) pada 18 hingga 22 Oktober 2026 di UMPSA Kampus Paya Besar. 

Program mobiliti antarabangsa tidak berkredit ini memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta pembangunan kompetensi global pelajar.

Mengangkat slogan ‘Explore, Experience and Excel Globally', program ini membuka ruang kepada peserta untuk meneroka pengalaman antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan Telkom University dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia.

Pelaksanaan aktiviti akademik, keusahawanan, teknologi, pembangunan profesional, kelestarian dan pertukaran budaya memberi pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.

Menurut Pengarah Program, Ts. Dr. Muhammad Farhan, FIM GLOBE 2026 membuka peluang kepada pelajar untuk mengembangkan pengetahuan, meningkatkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi silang budaya serta membina jaringan profesional. 

Program ini turut mendapat bimbingan Penasihat Program, Dr. Rusnifaezah Musa dan Ts. Dr. Syed Radzi Rahammadulla.

FIM-GBIX mengetengahkan International Youth Entrepreneurship Challenge (iYEC 2026) dan Bengkel Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Perniagaan dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). 

Program iYEC 2026 berjaya menarik penyertaan seramai 230 peserta, merangkumi 218 peserta UMPSA dan 12 peserta antarabangsa dari Indonesia, Iraq, Brunei, Oman serta India, sekali gus memperlihatkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti berteraskan jaringan dan pengalaman global.

Menerusi FIM-STRAX, peserta pula berpeluang mengasah kemahiran membuat keputusan dan strategi perniagaan dalam persekitaran simulasi menerusi platform MonsoonSIM dan FinTech Tycoon. 

Pendekatan pembelajaran interaktif ini memberi pendedahan kepada peserta dalam mengurus cabaran serta memahami dinamika dunia perniagaan sebenar.

Dalam usaha memperkukuh kompetensi profesional, FIM-LECP menghimpunkan seramai 35 peserta menerusi program pensijilan Lean Six Sigma White Belt yang memberi pendedahan kepada prinsip penambahbaikan proses, kecekapan operasi dan pengurusan kualiti.

Aspek kelestarian dan tanggungjawab sosial pula diterjemahkan menerusi FIM-GreenWave yang melaksanakan aktiviti plogging serta pembersihan pantai. 

Inisiatif itu berjaya mengumpulkan sebanyak 135.5 kilogram sisa, selain menyokong pelaksanaan Living-Learning Community Programmes dalam memupuk kesedaran sivik dan budaya menjaga alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.

Sementara itu, FIM-Global Classroom mencatatkan penyertaan seramai 576 peserta, terdiri daripada 100 peserta secara fizikal dan 476 secara dalam talian, termasuk pelajar antarabangsa dari Itali, Bahrain, Pakistan dan Indonesia.

Platform pembelajaran rentas sempadan itu bukan sahaja memperluas perkongsian ilmu, malah membuka ruang interaksi akademik dan pertukaran perspektif antara peserta daripada pelbagai latar belakang antarabangsa.

FIM-CultureFest pula menjadi platform menyatukan kepelbagaian budaya menerusi aktiviti pertukaran budaya dan Majlis Anugerah iYEC 2026. 

Pengalaman delegasi antarabangsa turut diperkaya dengan aktiviti edupelancongan di sekitar Pahang yang memberi peluang kepada mereka menyelami keunikan warisan, tradisi dan budaya tempatan.

Malah, penganjuran FIM GLOBE 2026 turut berjaya mencapai lapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah Pelan Strategik UMPSA2030 bagi tahun 2026. 

Pencapaian tersebut meliputi 1C.1 (II) – Inbound Non-Credit Mobility; 3A.2 (I) – Student Competency Certification; 3A.3 (I) – Industry/Agency Personnel as Teaching Staff; 3B.1 (I) – International TVET Collaboration Partners; 4A.3 (I) – Student Participations in Entrepreneurship Innovation; 4A.3 (II) – Entrepreneurial Innovation Activities; 2F.2 (I) – Living-Learning Community Programmes; dan 1A.4 (I) – Global Classroom Online International Collaboration.

Pencapaian ini memperlihatkan potensi program akademik berimpak tinggi dalam menjana pendapatan fakulti sambil memperkasa pelajar.

Kejayaan FIM GLOBE 2026 mencerminkan komitmen FPI terhadap pengantarabangsaan, inovasi, kerjasama industri dan kelestarian, selaras dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.

Oleh: DR. RUSNIFAEZAH MUSA DAN TS. DR. MUHAMMAD FARHAN HAJI AZMIR, FAKULTI PENGURUSAN INDUSTRI (FPI)
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim