Skip to main content

Amanat NC UMPSA angkat tema K.I.T.A lonjak kecemerlangan berimpak ke arah Hab TVET Termaju ASEAN

GAMBANG, 13 Februari 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias mengumumkan empat lonjakan bertemakan K.I.T.A iaitu Kelestarian, Kewangan, Keusahawanan, Komuniti (K), Inovasi dan Industri (I), TVET Termaju dan Bakat (T) dan Akademik, Antarabangsa dan Alumni (A) dalam memastikan UMPSA terus kekal relevan dan berdaya saing selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, terdapat empat elemen mendasari K.I.T.A iaitu Kasih (Hati), Intelek (Minda), Tatakelola dan Amanah dan Akauntabiliti yang memainkan peranan yang penting dalam memastikan kebersamaan warga UMPSA terus cemerlang di persada antarabangsa.

“Komited terhadap kelestarian, pada tahun ini UMPSA akan memberi tumpuan terhadap inisiatif kampus lestari dengan pelaksanaan Eco-University Framework dan mempergiat aktiviti mampan.

“Usaha ini seiring dengan pengiktirafan UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama ASEAN menerima pengiktirafan antarabangsa EcoCampus Green Flag yang meletakkan UMPSA di barisan hadapan sebagai universiti teknikal berteraskan TVET hijau dan inovasi lestari yang diiktiraf di peringkat dunia.

Amanat NC UMPSA angkat tema K.I.T.A lonjak kecemerlangan berimpak ke arah Hab TVET Termaju ASEAN

“Manakala dalam mewujudkan persekitaran yang lebih cekap, mampan dan terhubung yang meningkatkan pengalaman warga kampus, pelaksanaan transformasi digital secara holistik dengan pengintegrasian teknologi digital bakal dilaksanakan di seluruh kampus.

“Usaha ini termasuklah pelaksanaan Sistem Prestasi (Akademik dan Bukan Akademik), pemasangan LED dan data raya disasar sebagai ‘dashboard’ yang mengupaya dalam pembuatan keputusan yang tepat serta infrastruktur Al yang mengupaya analitik data secara berdaulat,” ujarnya.

Dalam pada itu, UMPSA sentiasa cakna terhadap kesejahteraan pelajar. 

Justeru, pelbagai usaha diadakan bagi memastikan setiap pelajar dapat belajar, berkembang dan berjaya dalam suasana yang kondusif.

Turut dirancang penggantian perabot dan tilam asrama, menaik taraf Kafetaria Pelajar 648 kepada Siswa Mall Ruang One-Stop Centre di Pusat Aktiviti Pelajar, Pekan, Rumah Korban di Masjid Al-Jazari dan Pembangunan Asrama 2,000 pelajar serta meningkatkan kemudahan fisio dan pergigian.

Seiring dengan hasrat dalam pemerkasaan pelajar, inisiatif  ‘Job on Campus’, Perantisan Siswa dan pengurusan Siswa Mall bakal melonjakkan bakat pelajar.

Amanat NC UMPSA angkat tema K.I.T.A lonjak kecemerlangan berimpak ke arah Hab TVET Termaju ASEAN

Dengan penghayatan nilai K.I.T.A., UMPSA optimis mampu melangkah lebih jauh sebagai IPT yang bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian, malah kukuh dari segi nilai dan integriti, selaras aspirasi universiti untuk terus unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam masa yang sama, UMPSA melancarkan Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30) bersempena dengan Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang hari ini.

Majlis yang penuh signifikan itu turut menyaksikan UMPSA menerima Sijil Penghargaan First Eco-Campus University in ASEAN daripada Green Growth Asia Foundation sebagai pengiktirafan terhadap komitmen berterusan universiti dalam agenda kelestarian dan pembangunan mampan.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, barisan pengurusan tertinggi universiti serta warga kampus.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dalam amanatnya menegaskan bahawa tahun 2026 menjadi titik permulaan fasa baharu universiti melalui pelaksanaan UMPSA30 sebagai dokumen induk yang akan memacu hala tuju universiti bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Dalam aspek pengantarabangsaan, UMPSA memberi fokus kepada pengukuhan reputasi dan keterlihatan global melalui kerjasama strategik antarabangsa, mobiliti pelajar dan staf serta penyelidikan bersama berimpak tinggi.

“Bagi kelestarian pula, pendekatan yang diambil melangkaui aspek alam sekitar dengan merangkumi kelestarian kewangan, operasi, insan dan tadbir urus, sejajar aspirasi universiti sebagai eco-university yang mampan dan berdaya tahan,” katanya. 

Majlis turut meraikan Sambutan Ulang Tahun UMPSA Ke-24 sebagai simbol kematangan universiti dalam tempoh lebih dua dekad penubuhannya.

Tahun 2026 disifatkan sebagai tahun pengukuhan asas pelaksanaan UMPSA30 dengan penekanan kepada penjajaran KPI semua Pusat Tanggungjawab (PTJ), pemantapan sistem pemantauan prestasi serta pembudayaan tadbir urus berasaskan data, impak dan akauntabiliti.

Dengan pelancaran UMPSA30, UMPSA komited untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti teknologi terkemuka yang relevan, berdaya saing dan berimpak tinggi selaras aspirasi pendidikan tinggi negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri