Skip to main content

Perutusan Khas Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan 2026

Assalamualaikum WBT.

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Salam hormat kepada semua warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang saya kasihi.

Alhamdulillah, marilah KITA bersama-sama menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana sekali lagi dapat menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana aman, harmoni dan penuh semangat cintakan tanah air.

Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar memperingati tanggal 31 Ogos 1957, tetapi merupakan medan untuk KITA menghayati erti perjuangan, pengorbanan dan tanggungjawab dalam mempertahankan kemerdekaan yang telah diwariskan kepada KITA.

Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, mencerminkan aspirasi untuk membina sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Kesejahteraan yang sebenar bukan hanya dinikmati melalui kemakmuran ekonomi. Ia turut lahir daripada akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan yang baik, kemajuan teknologi serta kemampuan rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Warga UMPSA yang saya kasihi,

Di sinilah peranan universiti menjadi amat penting. Bagi UMPSA, KITA akan terus memainkan peranan dalam membina generasi masa hadapan melalui pendidikan, penyelidikan dan kecemerlangan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET Termaju.

Melalui pendidikan yang berteraskan kemahiran, teknologi dan keperluan industri, KITA membuka ruang kepada generasi muda untuk membina masa depan yang lebih baik agar mampu mencipta peluang baharu serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara.

Justeru, langkah UMPSA memperkukuh ekosistem TVET Termaju melalui pembangunan Kilang Pembelajaran (Automotive Teaching Factory) baru-baru ini yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir amat signifikan yang turut menjadi satu detik penting yang terhadap agenda pemerkasaan TVET negara.

Kemudahan ini merupakan manifestasi komitmen UMPSA dalam membawa pendidikan lebih dekat dengan dunia sebenar industri. Ia bukan sekadar sebuah ruang pembelajaran, sebaliknya menjadi medan untuk pelajar memperoleh pengalaman praktikal, menguasai teknologi automotif terkini dan membina kompetensi yang diperlukan oleh industri.

UMPSA juga berkongsi kepakaran, produk inovasi dan hasil penyelidikan berpotensi dalam bidang pertahanan menerusi Pembentangan Technology Solutions in Defence Sector yang menjadi platform strategik kepada UMPSA untuk mengetengahkan keupayaan universiti dalam bidang teknologi, kejuruteraan serta penyelidikan dan inovasi yang berpotensi menyokong keperluan sektor pertahanan dan keselamatan negara.

KITA mahu melahirkan graduan yang bukan sekadar memiliki kelayakan akademik, tetapi mempunyai kemahiran, keyakinan dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah.

KITA juga mahu mahasiswa UMPSA menjadi pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna teknologi.

KITA mahu mereka membina industri, mencipta pekerjaan dan membawa inovasi Malaysia ke peringkat dunia. Inilah semangat kemerdekaan yang perlu kita teruskan pada hari ini.

Jika generasi terdahulu berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan, generasi hari ini pula perlu berjuang untuk memastikan negara KITA bebas daripada kebergantungan kepada teknologi luar, bebas daripada keterbatasan ilmu dan mampu berdiri teguh melalui kekuatan bakat, inovasi serta kemahiran anak bangsa.

UMPSA percaya bahawa kecemerlangan TVET Termaju bukan sekadar mengenai pembangunan industri. Ia adalah mengenai pembangunan manusia.

Apabila kehidupan seseorang berubah, keluarganya turut menikmati kesejahteraan. Apabila semakin ramai rakyat diperkasa, maka negara akan menjadi lebih maju dan sejahtera. Itulah semangat ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.

Warga UMPSA sekalian,

Ingin saya kongsikan pembinaan Dewan Konvokesyen UMPSA merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam perjalanan universiti menjelang Sambutan Jubli Perak UMPSA bersempena dengan 25 tahun UMPSA pada 16 Februari 2027.

Begitu juga dengan Majlis Konvokesyen Ke-21 yang bakal berlangsung buat pertama kalinya di sini pada 31 Oktober hingga 3 November 2026 akan datang bakal menjadi antara detik paling bermakna dalam sejarah UMPSA.

UMPSA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila menerima TVET Industry Collaboration & Research Award bersempena dengan Majlis Malaysia Education & TVET Awards 2026 baru-baru ini. Tahniah! Warga UMPSA.

Dalam pada itu, UMPSA turut melancarkan jentera lumba berenjin dan elektrik Pasukan E-Motion UMPSA bersempena dengan Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung di Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah.

Pihak universiti menghargai sokongan pihak Perbadanan Muzium Negeri Pahang atas peluang Pasukan E-Motion yang mempamerkan kenderaan bersempena dengan Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung mulai 29 Ogos sehingga 7 September depan.

UMPSA turut melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia melaksanakan misi kemanusiaan ke Timor-Leste baru-baru ini hasil kerjasama Yayasan UMPSA bersama pihak Muslim Care Global (MCG) sebagai rakan strategik dan Universidade de Dili (UNDIL) serta menerusi platform Kuliah Kerja Nyata (KKN) yang melibatkan mahasiswa dari Malaysia, Indonesia dan Timor-Leste.

Warga UMPSA yang dihormati,

Sebagai warga universiti, penerapan elemen K.I.T.A. yang membawa maksud Kasih (Hati), Intelek (Minda), Tatakelola (T) dan Amanah serta Akauntabiliti (A) seiring dengan Nilai Teras UMPSA akan terus dekat di hati juga menjadi landasan nilai serta nadi pengukuhan budaya kerja dan teras kepimpinan universiti.

Marilah KITA bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan dengan memperkukuh ilmu, meningkatkan kemahiran, menyemarakkan inovasi dan terus menyumbang kepada masyarakat serta negara.

Semoga UMPSA terus menjadi wadah yang melahirkan bakat berkualiti, memperkasakan TVET, memperkukuh industri dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

Akhir kata, saya dan seluruh kepimpinan universiti mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 dan Selamat Hari Malaysia 2026 kepada pelajar, alumni, seluruh warga UMPSA, rakan strategik universiti serta rakyat Malaysia.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sekian, Wabillahi Taufak Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

PROFESOR TS. DR. YATIMAH ALIAS
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Reports by:
AINIEY