PERUTUSAN KHAS NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA) BERSEMPENA DENGAN TAHUN BAHARU 2026
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya jua, kita masih dipanjangkan usia dan diberi kesempatan untuk bersama-sama melangkah ke Tahun Baharu 2026 dengan aman, makmur dan semangat baharu. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga universiti, para pemegang taruh dan rakan-rakan strategik sama ada di dalam mahupun di luar negara yang sentiasa bersama-sama saya memimpin dan mengemudi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sepanjang tahun 2025.
Secara peribadi, tarikh 13 Januari 2026 ini merupakan genap setahun saya menjadi sebahagian keluarga besar UMPSA. Dengan bantuan dan sokongan serta kerjasama semua pihak, banyak yang telah saya pelajari dan harungi sepanjang setahun ini.
Tahun 2025 telah membuktikan bahawa kecemerlangan UMPSA bukan diukur semata-mata melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui hubungan manusia, kekuatan komuniti dan impak ilmu yang diterjemahkan kepada kesejahteraan masyarakat.
Pencapaian tahun 2025 dibuka dengan kejayaan kohort pertama program kerjasama Ijazah Dual UMPSA – Beijing Jiaotong University (BJTU) yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang Kejuruteraan Rel. Kesemua 45 graduan ini telah diraikan pada majlis konvokesyen di BJTU, China pada 8 Januari 2025 dan 8 November di UMPSA .
Malah, tahun 2025 juga mencatat sejarah apabila masjid universiti telah dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro-Canselor UMPSA sebagai Masjid Al-Jazari, bersempena tokoh jurutera dan ilmuwan Islam terkemuka abad ke-12 yang melambangkan kesepaduan ilmu, teknologi dan nilai spiritual.
Warga UMPSA yang saya kasihi,
Menjelang 24 tahun penubuhan UMPSA pada 16 Februari 2026 bukan sahaja menyaksikan pencapaian dari sudut angka dan pengiktirafan, malah memperlihatkan kematangan UMPSA yang kini berada sebaris dengan universiti terbaik dunia. UMPSA membarisi senarai universiti ke-609 terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings (QS WUR) 2026. Lebih membanggakan bagi petunjuk sitasi per fakulti UMPSA berada di kedudukan kedua terbaik di Malaysia. Indikasi ini menunjukkan karya penyelidikan dari fakulti di UMPSA berkualiti dan sering dirujuk di dalam penerbitan akademik lain.
Pada masa yang sama, UMPSA juga diiktiraf 101-200 terbaik dunia dalam penarafan Times Higher Education Impact Rankings (THEIR) 2025 yang menilai penglibatan universiti ini berasaskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan komponen utama dinilai adalah penyelidikan, pengurusan, jaringan dan pengajaran. Komitmen kita ini telah diiktiraf di peringkat global melalui pelbagai penarafan berprestij.
Berdasarkan THE Impact Rankings 2025, UMPSA terus mencatat pencapaian yang membanggakan di peringkat nasional dan antarabangsa. UMPSA telah berada dalam kelompok universiti terbaik dunia pada kedudukan 101–200, seterusnya menduduki tempat kelima terbaik di Malaysia.
Terbaharu, UMPSA berjaya melonjak kedudukan ke-40 terbaik di dunia dalam UIGreenMetric World University Rankings (UIGWUR) 2025, sebagai universiti ke-3 terbaik di Malaysia dan Universiti Teknologi Terbaik nombor satu di Malaysia dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Pencapaian ini menyaksikan universiti kita terus mendaki tangga kecemerlangan di persada kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh agenda kelestarian, inovasi dan kesejahteraan masyarakat sejajar dengan aspirasi global serta hala tuju universiti ke arah pembangunan mampan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Kecemerlangan tahun 2025 diteruskan apabila UMPSA mencipta sejarah sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pertama ASEAN yang menerima pengiktirafan antarabangsa Eco-Campus Green Flag yang dikendalikan oleh Foundation for Environmental Education (FEE), Denmark sebagai penanda aras global bagi kecemerlangan alam sekitar di IPT. Ia membuktikan bahawa model living lab di UMPSA, tadbir urus data karbon dan kerjasama industri-komuniti telah diterjemahkan dengan jayanya ke dalam ekosistem kampus yang lestari.
Pencapaian ini antaranya adalah hasil daripada inisiatif strategik universiti termasuk pemasangan solar di atas bumbung, panel solar terapung, penggunaan bas, van elektrik dan stesen pengecas EV di kampus serta inisiatif pengurangan pelepasan karbon dengan sasaran mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050.
Menariknya, UMPSA berada di kedudukan pertama di Malaysia bagi SDG7: Tenaga Mampan dan Berpatutan dan di kedudukan ke-18 terbaik dunia. Usaha ini akan kita teruskan dengan amalan dan budaya lestari yang menjadi sebahagian budaya kerja cemerlang di universiti ini.
Warga UMPSA yang saya hormati,
Tahun 2026 akan menjadi tahun penting dengan bermulanya Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 yang merupakan kesinambungan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025. Dengan mengutamakan inovasi, memanfaatkan kemampuan digital dan memperkasakan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’, universiti telah menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan ke arah sebuah universiti teknologi terunggul.
Maka bagi meneruskan usaha memperkasa Agenda Pengantarabangsaan, UMPSA terus memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa apabila termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Hebei University, China (HBU) bagi pelaksanaan program ijazah dual dalam bidang Teknologi Data Raya (Big Data). Kita juga berbangga apabila hubungan strategik UMPSA dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Hebei University (HBU) kini telah terjalin sejak 15 tahun lalu.
UMPSA adalah satu-satunya universiti awam (UA) di Malaysia yang menawarkan program ijazah dual dan sehingga kini sebanyak 11 program ijazah dual melibatkan IPT di Jerman, China dan Kazakhstan. Pelaksanaan program ini akan mengukuhkan lagi posisi UMPSA sebagai Hab TVET Termaju ASEAN. Malah, dengan penubuhan Pusat Serantau Kemahiran Vokasional China-Malaysia, UMPSA komited untuk memperluaskan peluang latihan Mandarin dan Vokasional kepada komuniti setempat dan industri khususnya di seluruh Wilayah Pantai Timur dan Malaysia amnya.
Warga UMPSA yang saya hormati,
Saya ingin menzahirkan rasa bangga atas pencapaian penyelidikan dan inovasi universiti berteraskan komuniti dan kesejahteraan sosioekonomi seiring dengan slogan UMPSA, ‘Teknologi untuk Masyarakat’ yang melibatkan akademia dan staf UMPSA dalam mengharumkan nama universiti dan negara.
Hasil bimbingan intensif dan sokongan strategik melalui kepakaran Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan (Pusat BIM) UMPSA telah berjaya membantu negara meraih pingat emas dan dinobatkan sebagai Best of Nation bagi Skills 58 – Digital Construction di Pertandingan WorldSkills Asia (WSA) yang berlangsung di Taipei baru-baru ini dan dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan WorldSkills Malaysia dalam bidang Digital Construction.
UMPSA juga telah menerima pembiayaan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah Dana Penyelidikan Strategik bagi projek ‘Development of Integrated Technologies for Efficient Recovery of Rare Earth Elements from Ionic Adsorption Clay" (IAC) (EYE-TREE) bersempena dengan Seminar Mineral on Resources Technology (SMART) 2025.
Projek ini merupakan salah satu initiatif di bawah National Advanced Materials Programme (NAMPRO) dengan kolaborasi bersama Malaysia Industry-Goverment Group for High Technolgy (MIGHT) selaku Agensi Pemantau dan Pelaksana (APP) bagi melaksanakan semua aktiviti berkaitan Projek EYE-TREE dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6,965,500 daripada jumlah keseluruhan projek sebanyak RM15,000,000. Tempoh pelaksanaan bagi projek ini adalah selama 36 bulan bermula pada 1 November 2025 di bawah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMaRRT) UMPSA.
Dalam penyelidikan berimpak global melalui Centre for Advanced Mobility & Aerospace UMPSA, turut menerima Dana Agensi Tahun 2025 bernilai RM100,000 daripada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, menjadikan UMPSA antara institusi tempatan yang aktif menyumbang kepada penyelidikan di wilayah Antartika.
UMPSA juga dilantik sebagai universiti peneraju nasional bagi sektor automotif dalam pelaksanaan program Ministry of Higher Education Research and Industry-Infused Incubator (MRI3) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengukuhkan peranan UMPSA dalam ekosistem inovasi industri negara.
Dalam masa yang sama, UMPSA menubuhkan Venture Studio berasaskan AI, sistem autonomi dan teknologi mobiliti termaju yang merupakan antara yang pertama di Malaysia bagi melahirkan syarikat pemula teknologi tinggi dan mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan.
Semua kejayaan ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam menggunakan teknologi dan kepakaran untuk memberi manfaat langsung kepada masyarakat, industri dan negara, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Tahun 2025 turut mencatatkan sejarah apabila sebanyak RM87 juta telah berjaya dikumpul melalui dana endowmen hasil sumbangan strategik industri, komuniti dan alumni yang diraikan dalam Majlis Jamuan Teh Tuanku Canselor UMPSA dengan Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Tuanku Canselor dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Turut dilancarkan adalah Endowmen Tuanku Canselor UMPSA.
Endowmen ini menyokong UMPSA dari aspek pendidikan, penyelidikan, kebajikan pelajar, komuniti dan alumni sekaligus memperkukuh agenda kelestarian kewangan universiti, memperkasa pendidikan berkualiti dan penyelidikan berimpak.
Warga UMPSA yang saya kasihi,
Pencapaian pelajar juga membanggakan apabila Pasukan Robotik UMPSA daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) turut meraih dua pingat emas dalam pertandingan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025. Manakala pasukan E-Motion daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) telah merangkul juara keseluruhan pertandingan Next Generation Vehicle (NxGV) Challenge 2025.
Pasukan pelajar daripada Fakulti Komputeran (FK) yang meraih pencapaian cemerlangnya apabila meraih tiga anugerah di Huawei ICT Competition Malaysia 2025–2026. Kejayaan ini mempamerkan komitmen UMPSA terhadap kecemerlangan dalam pendidikan dan inovasi ICT yang bukan sahaja melahirkan pelajar unggul tetapi juga graduan yang bersedia untuk industri melalui kurikulum terkini, pengalaman pembelajaran secara hands-on serta kerjasama erat dengan pemain industri terkemuka seperti Huawei.
UMPSA sekali lagi diangkat di peringkat antarabangsa apabila dua pasukan daripada FK meraih kejayaan cemerlang dalam Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) anjuran KPT yang mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most Digital Start-up Projects by Students In An International Programme yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.
Warga UMPSA yang saya kasihi,
Dalam memastikan UMPSA terus gemilang, universiti komited dengan memperkasakan bakat, memperkukuh legasi kepimpinan strategik dalam memastikan kelestarian dan daya tahan institusi bagi menghadapi cabaran masa depan. Selain itu juga, kita sedang mempersiapkan UMPSA dengan kerangka kepimpinan yang progresif dan relevan bagi memastikan institusi terus kukuh, kompetitif dan mampu berkembang maju dalam landskap pendidikan tinggi yang sentiasa berubah.
Saya menyeru seluruh warga UMPSA agar menjadikan semangat tahun baharu ini sebagai inspirasi dalam meneruskan usaha murni kita untuk melahirkan graduan berdaya saing global, memperkasa komuniti melalui ilmu dan inovasi, serta mengekalkan integriti dan akauntabiliti dalam setiap amanah yang dipertanggungjawabkan melalui pembudayaan kerja yang berfokuskan aspirasi SPIROS iaitu Kemahiran (Skills), Kesempurnaan (Perfection), Impak (Impact), Daya Tahan (Resilience), Pengoptimuman (Optimization) dan Kelestarian (Sustainability).
Marilah kita melangkah ke tahun baharu ini dengan azam dan iltizam yang lebih tinggi untuk bersama-sama membina UMPSA sebagai sebuah universiti teknologi terunggul yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah turut unggul dalam membina masyarakat berilmu, beretika dan berintegriti seiring dengan lima Nilai Teras (Core Value) UMPSA.
Bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi, saya dan seluruh warga UMPSA mengucapkan “Selamat Maju Jaya” dan mendoakan agar diberikan ketenangan dan dipermudahkan sepanjang menduduki peperiksaan.
Seiring dengan peranan UMPSA sebagai universiti yang berteraskan jaringan global dan kepelbagaian budaya, saya panjangkan penghargaan kepada komuniti antarabangsa yang menjadi sebahagian daripada keluarga UMPSA.
To our international students, academic colleagues, researchers, partners, and members of the global community who call UMPSA their home, I extend my heartfelt appreciation for your contributions to our vibrant and diverse campus. Your presence enriches our academic discourse, strengthens cross-cultural understanding, and reinforces UMPSA’s identity as a globally connected university rooted in shared values and mutual respect. As we move forward into 2026, UMPSA remains committed to fostering an inclusive, supportive, and empowering environment where talents from all backgrounds can thrive, collaborate, and create meaningful impact together. You are an integral part of UMPSA’s journey, and we look forward to continuing this shared path of growth, discovery and global engagement.
Akhir kata, saya dan seluruh kepimpinan universiti mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada pelajar, alumni, seluruh warga UMPSA serta rakan strategik universiti.
Semoga tahun baharu ini membawa keberkatan, keselamatan dan kejayaan buat kita semua. Sesungguhnya dengan semangat inilah yang harus kita hayati dalam kehidupan seharian dalam menunaikan tanggungjawab kita khususnya sebagai warga UMPSA. Dengan semangat kejayaan yang dikecapi dan pengalaman berharga dari cabaran yang dilalui, UMPSA akan melangkah ke tahun 2026 dengan penuh keyakinan, kesatuan dan tekad yang jitu untuk terus menjadi Universiti Teknologi Terunggul.
Sekian terima kasih.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
31 Disember 2025
- 408 views