PERUTUSAN KHAS NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA) BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2026/1447H
Bismillahirrahmanirrahim WBT.
Salam Sejahtera, Salam Malaysia MADANI dan Salam KITA UMPSA.
Warga UMPSA yang saya hormati dan kasihi sekalian,
Segala puji bagi Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, KITA sekali lagi diberikan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana aman, penuh kesyukuran dan keberkatan.
Aidiladha bukan sekadar simbol ibadah korban, tetapi merupakan lambang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan demi amanah yang lebih besar. Kisah agung Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. mengajar KITA bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan penuh keimanan akan melahirkan kekuatan, keberanian dan hikmah yang akhirnya membuka jalan kepada kebaikan yang lebih besar. Nilai pengorbanan inilah yang perlu terus disemai dalam kehidupan dan amanah pekerjaan kita setiap hari.
Dalam dunia hari ini yang semakin tidak menentu, semangat pengorbanan ini menjadi semakin relevan untuk KITA hayati bersama.
KITA sedang menyaksikan pelbagai cabaran global yang berlaku serentak. Ketegangan geopolitik, konflik kemanusiaan, krisis dan ketidaktentuan ekonomi dunia, perubahan iklim, perkembangan teknologi yang terlalu pantas serta kebangkitan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap kehidupan, pekerjaan dan pendidikan dengan begitu cepat.
Dunia kini bergerak dalam keadaan yang sukar dijangka. Dalam suasana sebegini, KITA tidak lagi boleh hanya menunggu dan bertindak apabila cabaran berlaku. Sebaliknya, keadaan dunia hari ini menuntut pengorbanan daripada KITA untuk menjadi lebih bersedia, lebih tangkas dan lebih proaktif dalam menghadapi perubahan.
Sebagai warga universiti, pengorbanan ini hadir dalam pelbagai bentuk. Ia menuntut KITA keluar daripada zon selesa, memperkukuh daya tahan, membina kemahiran baharu, mempercepat transformasi dan terus beradaptasi dengan perubahan dunia yang sentiasa bergerak pantas. Ia juga menuntut KITA untuk terus bekerja dengan penuh amanah dan keikhlasan, bukan sekadar demi pencapaian institusi, tetapi demi masa depan mahasiswa, masyarakat dan negara.
Warga UMPSA yang saya kasihi,
Seiring dengan edaran Surat Pekeliling Bendahari Bil.1 Tahun 2026 berkaitan Arahan Naib Canselor Pelaksanaan Inisiatif Penjimatan UMPSA baru-baru ini, ingin saya mengingatkan semua warga universiti agar terus melaksanakan penjimatan dengan konsisten dan jika diamalkan secara kolektif mampu memberi impak yang besar bukan sahaja dari aspek penjimatan kos tetapi juga tanggungjawab nasional.
Antaranya dengan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu, ia dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api dan tekanan terhadap permintaan tenaga.
Melalui penjimatan tenaga yang praktikal, KITA dapat membantu mengurangkan kesan ketidaktentuan global dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan serta berdaya tahan.
Warga UMPSA yang saya hormati,
Alhamdulillah, di sebalik ketidaktentuan global yang semakin kompleks, UMPSA terus melakar pelbagai pencapaian signifikan hasil komitmen dan pengorbanan seluruh warga universiti sepanjang tahun ini.
Tahun ini menyaksikan UMPSA terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti teknikal bertaraf global melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi, kelestarian dan pengantarabangsaan.
UMPSA turut mencatat pencapaian membanggakan apabila terus memperkukuh kedudukannya dalam QS World University Rankings 2026 dan Times Higher Education Rankings sebagai universiti nombor satu dalam kalangan Malaysian Technical University Network (MTUN). Pencapaian ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasakan pendidikan teknikal dan teknologi yang berkualiti tinggi serta relevan dengan keperluan industri dan masyarakat masa hadapan.
Dalam agenda transformasi digital pula, UMPSA terus memperkukuh pembangunan Smart Campus melalui pelaksanaan Intelligent Operation Centre (IOC), integrasi teknologi AI dan Internet of Things (IoT) serta pembangunan ekosistem digital yang lebih pintar, selamat dan mampan. UMPSA juga menjadi universiti awam (UA) pertama di Malaysia yang menerima Green Data Centre Certification pada tahap Titanium Plus Tier, sekali gus memperlihatkan komitmen universiti dalam memperkasa transformasi digital secara bertanggungjawab dan lestari.
Dari sudut pengantarabangsaan, penyertaan aktif UMPSA dalam platform pendidikan tinggi global seperti APAIE 2026 terus memperkukuh reputasi dan keterlihatan universiti di persada antarabangsa. UMPSA terus memperluas jaringan kerjasama strategik bersama universiti dan industri dari pelbagai negara melalui pelaksanaan program mobiliti antarabangsa, transnational education (TNE) serta penyelidikan rentas negara yang memberi impak kepada pembangunan bakat global dan perkongsian ilmu sejagat.
Dalam bidang penyelidikan dan inovasi pula, para penyelidik UMPSA terus menghasilkan pelbagai penyelidikan berimpak tinggi khususnya dalam bidang teknologi hijau, automasi, kecerdasan buatan dan sistem autonomi.
Pembangunan teknologi robotik autonomi taktikal TUAH UMPSA-Deftech dan ciptaan inovasi baharu dalam teknologi dron pertahanan kini memperkenalkan Rocket-Assisted Interceptor Drone (R.A.I.D) sebuah sistem hibrid gabungan keupayaan dron autonomi dan pelancaran roket di udara yang dipamerkan bersempena Defence Services Asia 2026 (DSA 2026) di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) merupakan antara contoh bagaimana kepakaran universiti berjaya diterjemahkan kepada penyelesaian teknologi masa hadapan yang memberi impak kepada industri, masyarakat dan negara.
UMPSA juga terus melakar kejayaan membanggakan apabila meraih empat pingat emas dan dua pingat perak di 37th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2026 yang berlangsung pada 18 hingga 20 Mei 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Lebih membanggakan, pensyarah UMPSA, Ts. Nurul Wahidah Arshad daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) turut menerima pengiktirafan khas Best Women Inventor Award menerusi inovasi DEWBoard©️, sekali gus mengangkat nama UMPSA di pentas antarabangsa.
Warga UMPSA sekalian,
Semua pencapaian ini menjadi bukti bahawa UMPSA terus bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang jelas dan berani dalam mendepani masa hadapan yang penuh cabaran.
Aspirasi UMPSA sebagai Advanced TVET Hub in Asia Pacific menjelang tahun 2030 akan terus diperkasakan secara progresif dan menyeluruh, selari dengan komitmen universiti untuk memperkukuh pendidikan teknikal bertaraf global yang berpaksikan teknologi, industri dan kemanusiaan.
Segala kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa semangat kebersamaan, dedikasi dan pengorbanan seluruh warga universiti.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua staf akademik dan pentadbiran, para penyelidik, pelajar, alumni, rakan industri dan rakan strategik antarabangsa yang terus menyumbang dengan penuh komitmen demi kecemerlangan UMPSA.
Warga UMPSA yang saya kasihi,
Sempena Hari Raya Aidiladha ini, marilah KITA bersama-sama memperkukuh nilai empati, kasih sayang dan solidariti sesama insan.
Dalam KITA menikmati keamanan dan kesejahteraan, janganlah KITA melupakan saudara-saudara KITA di Gaza dan wilayah lain yang sedang diuji dengan penderitaan, kehilangan dan ketidakadilan. Semoga Aidiladha ini mendidik hati KITA untuk terus menghargai keamanan, membantu mereka yang memerlukan dan memperluas nilai kemanusiaan dalam setiap tindakan KITA.
Menjelang cuti perayaan ini, marilah kita bersama-sama memastikan semua peralatan elektrik yang tidak digunakan ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan pembaziran tenaga serta menjamin keselamatan pejabat, makmal dan ruang kerja sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.
Pastikan juga setiap suis elektrik dan peralatan makmal diperiksa dengan teliti serta ditutup dengan sempurna sebelum meninggalkan tempat bertugas demi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif sepanjang musim perayaan.
Buat warga UMPSA yang pulang ke kampung halaman, saya mendoakan agar perjalanan anda sentiasa dipermudah dan dilindungi Allah SWT. Kepada yang melaksanakan ibadah korban, semoga segala amalan diterima dan menjadi asbab keberkatan buat diri serta keluarga.
Khusus buat warga UMPSA yang menjadi tetamu Allah (Duyufur Rahman) di Tanah Suci dinasihatkan untuk memperbanyakkan doa, sabar dengan ujian dan semoga dipermudah dalam beribadah serta dikurniakan haji yang mabrur.
Akhir kata, marilah KITA menjadikan Aidiladha tahun ini sebagai titik kekuatan untuk terus bersatu hati, berkorban dengan ikhlas dan bergerak ke hadapan dengan lebih berani serta proaktif dalam mendepani masa hadapan yang penuh cabaran.
Semoga semangat Aidiladha terus memperkukuh tekad KITA untuk membina UMPSA yang lebih cemerlang, lestari dan bermakna berteraskan nilai keimanan, kasih sayang dan tanggungjawab bersama demi agama, bangsa dan negara.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam Aidiladha 1447H.
Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd!
PROFESOR Ts. DR. YATIMAH ALIAS
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 133 views
Reports by: