PERUTUSAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA) BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1447H/2026M
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, KITA masih diberi kesempatan untuk berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Bersempena Ramadan kali ini, pelbagai inisiatif telah digerakkan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.
Pelbagai program anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Islam (PIMPIN) dilaksanakan dalam mengimarahkan Ramadan menjadi wadah penting dalam menghidupkan bulan mulia ini dengan aktiviti keilmuan, kebajikan dan pengukuhan nilai murni.
Tradisi memasak bubur lambuk juga diteruskan sebagai simbol perpaduan dan semangat gotong-royong yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan KITA.
UMPSA menerusi Yayasan UMPSA memperuntukkan sebanyak RM120,000 bagi program Iftar dan aktiviti Ramadan pada tahun ini. Terima kasih diucapkan kepada semua rakan strategik termasuk yang diterima daripada penyumbang individu perseorangan.
Selain itu, penganjuran program tahunan yang masuk tahun kesepuluh anjuran Yayasan UMPSA diteruskan dengan Singgah Sahur di Kuala Lumpur dan Kuantan membuktikan komitmen berterusan KITA dalam mendekati masyarakat apabila UMPSA menyantuni golongan yang memerlukan termasuklah pasukan keselamatan, anak yatim dan asnaf.
Empat lokasi persinggahan di Kuala Lumpur melibatkan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah, Pusat Jagaan Kasih Murni, Balai Polis Setiawangsa dan Balai Bomba dan Penyelamat Keramat.
Manakala di Kuantan melibatkan ziarah dan menyampaikan sumbangan buat pelajar luar kampus dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Kampung Kempadang Kuantan. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan nilai ihsan, malah mengukuhkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti.
Dalam masa yang sama, saya ingin mengalu-alukan kemasukan para pelajar baharu seramai 499 yang mendaftar secara talian baru-baru ini yang menyaksikan buat pertama kalinya, UMPSA mula menerima pelajar bagi program Program TVET Pesisir UMPSA-UMS untuk Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik (BVE) yang ditawarkan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas (BVF) yang ditawarkan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).
Warga UMPSA yang dikasihi,
Saya juga ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus selepas Hari Raya Aidilfitri nanti kepada seluruh mahasiswa UMPSA. Gunakanlah peluang menuntut ilmu ini sebaiknya dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Jagalah ADAB dalam menuntut ilmu, hormati para pensyarah dan rakan-rakan serta sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kecemerlangan diri dan Rukun Negara yang menjadi panduan membina negara yang progresif tanpa meninggalkan akar budaya dan nilai murni.
Menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, saya ingin mengingatkan agar semua warga sentiasa berhati-hati di jalan raya, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan diri serta orang tersayang. Raikanlah sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta dengan penuh kesyukuran, kesederhanaan dan kegembiraan.
Saya ingin menyeru seluruh warga UMPSA agar terus kekal istiqamah dalam setiap usaha yang dilaksanakan. Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha menjayakan Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30) demi kecemerlangan universiti yang berterusan.
Dalam mendepani pelbagai dugaan dan ketidaktentuan global yang semakin mencabar, KITA perlu kekal tabah, berdaya tahan serta sentiasa bersatu hati. Kekuatan KITA terletak pada kesepaduan dan keazaman untuk terus maju walau apa jua rintangan yang dihadapi.
Kekal fokus empat elemen mendasari KITA iaitu Kasih (Hati), Intelek (Minda), Tatakelola dan Amanah dan Akauntabiliti yang memainkan peranan yang penting dalam memastikan kebersamaan warga UMPSA terus cemerlang di persada antarabangsa dengan menyasarkan empat lonjakan iaitu (K) Kelestarian, Kewangan & Keusahawanan, Komuniti, (I) Inovasi & Industri, (T) TVET Termaju dan (B) Bakat serta (A) Akademik, Antarabangsa dan Alumni.
Pada kesempatan ini juga, saya dengan penuh rasa tawaduk di hati, memohon kemaafan zahir dan batin bagi pihak diri, suami dan seisi keluarga tercinta atas segala kesalahan serta apa jua kekhilafan.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin dan di seluruh negara Islam agar sentiasa dikurniakan keamanan, kekuatan dan perlindungan daripada segala musibah.
Semoga mereka terus tabah menghadapi ujian dan diberikan kemenangan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan KITA semua terus bersatu, dipermudahkan segala urusan, dan mencapai kecemerlangan yang berpanjangan.
Akhirul kalam, Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin.
ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR, WALILLAH HIL HAMD.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
PROFESOR TS. DR. YATIMAH BINTI ALIAS
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 4 views
Reports by: