Yayasan UMPSA santuni komuniti di Bentong, umum RM200,000 Bantuan Awal Pendidikan dan Insentif Kecemerlangan
BENTONG, 29 Jun 2024 - Yayasan UMPSA menyampaikan sumbangan kepada sepuluh buah keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal dan keluarga yang berkeperluan sekitar Bentong dalam usaha mendekati dan menyantuni komuniti setempat.
Serahan berupa keperluan makanan itu disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga merupakan Pengerusi Yayasan UMPSA.
Turut serta Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan barisan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA.
Program ini adalah sebahagian usaha universiti untuk mendekati masyarakat setempat dan menyantuni keluarga yang berkeperluan seiring dengan Agenda Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 bertemakan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
Dalam pertemuan itu, Dato’ Seri Abdul Razak turut mengumumkan bahawa Yayasan UMPSA akan memperuntukkan Bantuan Awal Pendidikan dan Insentif Kecemerlangan sebanyak RM200,000 untuk pelajar baharu UMPSA bagi pengambilan program diploma pada 27 Julai 2024 manakala bagi program ijazah sarjana muda pada 28 September 2024 ini.
“Bantuan awal pendidikan dan insentif kecemerlangan akan diberikan kepada pelajar yang memilih UMPSA sebagai universiti pilihan pertama.
“Sumbangan ini adalah khusus untuk pelajar yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan dan pelajar cemerlang yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan
“Dengan adanya peruntukan ini, UMPSA berharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan menggalakkan lebih ramai pelajar cemerlang memilih UMPSA sebagai destinasi pendidikan tinggi mereka,” katanya yang hadir menyantuni penerima manfaat.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta telah diluluskan Yayasan UMPSA untuk bantuan kebajikan pelajar bagi tahun ini termasuklah Pemberian Zakat Pelajar, Bantuan Insentif Kecemerlangan dan Pendidikan, Bantuan Campus Pantry dan Dapur Siswa serta Penajaan Biasiswa UMPSA.
Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie turut memberi jaminan agar nasib pelajar yang kurang berkemampuan akan terus menjadi keutamaan universiti.
“UMPSA akan terus memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan bahawa setiap pelajar terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk memperoleh peluang pendidikan yang setara dan berkualiti.
“Pihak universiti juga akan terus menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik, dan pelbagai inisiatif untuk memastikan mereka dapat mengejar impian tanpa sebarang halangan,” katanya.
Komitmen UMPSA ini dibuktikan apabila UMPSA berjaya tersenarai di kedudukan 201-300 terbaik dunia dan kelima terbaik dunia bagi #SDG1 dalam usaha membasmi setiap bentuk kemiskinan tegar dalam penarafan Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2024 yang merupakan antara penanda aras utama global dalam menilai sumbangan institusi pendidikan tinggi (IPT) kepada UNSDG dalam aspek kemampanan.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 168 views