Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad milik Nur Aishah, Jurutera Proses Pembuatan
GAMBANG, 21 Oktober 2023 – “No Pain No Gain”, begitulah prinsip hidup yang dipegang oleh Nur Aishah Baharudin, 24 graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Anak kepada pasangan Baharudin Abu Hassan, 57 dan Azizah Abu Bakar, 55 itu percaya hakikat kehidupan bahawa tiada hasil yang akan diperoleh tanpa melalui sakitnya sebuah perjalanan ternyata membuahkan hasil apabila berjaya merangkul Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Pahang pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA, di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, hanya diri sendiri tahu kemampuan diri tetapi tetap tegar dalam berusaha untuk mencapai kejayaan.
“Hasilnya, saya berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.86 selain turut meraih Anugerah Dekan setiap semester sepanjang menjalani pengajian ijazah sarjana muda, katanya.
Menurut Jurutera Proses Pembuatan di Texas Instruments Electronics Malaysia (TIEM) itu, pensyarah kini menggunakan pendekatan open-ended.
“Pendekatan ini sangat bagus kepada para pelajar untuk menganalisa permasalahan yang diberikan dan jawapannya tidak tertumpu kepada satu malah pelbagai.
“Para pelajar tidak memfokuskan kepada satu jalan kerja malah pelbagai dan ini membuat para pelajar lebih memahami konsep secara dasar.
“Kandungan kokurikulum yang sangat sejajar dengan keperluan industri terkini turut menjadikan graduan UMP menjadi buruan industri,” katanya.
Aishah turut berharap suatu hari ini beliau dapat menjadi seorang jurutera yang mahir dalam bidang yang diceburi seperti ayahnya yang kini bertugas di South Sudan, Afrika.
Penerima anugerah ini turut berhasrat untuk menjadi tenaga profesional yang dapat menyumbang kemahiran dalam industri.
Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 184 views