Skip to main content
Atlet Golf UMP Lee Jia Huey terima Anugerah Emas Universiti

Atlet Golf UMP Lee Jia Huey terima Anugerah Emas Universiti

PAYA BESAR, 6 Ogos 2022 - Bijak membahagikan waktu belajar merupakan faktor utama kejayaan penerima Anugerah Emas Universiti pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Graduan Diploma Kejuruteraan Kimia, Lee Jia Huey, 22, berkata,  tekad untuk berjaya mendorong beliau agar tekun belajar dan mencapai keputusan cemerlang.

Anak kelahiran Johor ini menamatkan pengajian diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.93 dan kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di UMP.
 
Lee Jia Huey merupakan atlet UMP dalam sukan golf dan pernah dinobatkan johan dalam Kejohanan Golf IPT 2019 bagi kategori Individu Wanita Nett

Selain itu, beliau juga merupakan peserta Kejohanan Gavin Grant Junior Amateur 2018 dan peserta Higher Education Sport Fest 2018 (sukan golf).
 
Tambahnya, beliau sentiasa memastikan ada matlamat dalam setiap perkara supaya dirinya dapat membahagikan masa. 

“Sepanjang pembelajaran, saya merangka jadual secara terperinci supaya saya boleh melibatkan diri dengan perkara yang diminati termasuk aktiviti luar kampus

“Kejayaan terbesar dan pengalaman yang tidak boleh dilupakan sewaktu berada di UMP adalah apabila saya berjaya menjadi johan dalam Kejohanan Golf  IPT 2019 bagi kategori Individu Wanita Nett

“Bukan itu sahaja, saya juga berjaya memenangi kategori Berpasukan Wanita Nett,” katanya ketika ditemui pemberita di universiti.

Katanya, pencapaian ini adalah pencapaian pertama semasa saya menuntut di UMP dan ia sangat bermakna bagi saya lagi-lagi saya dapat mengharumkan nama UMP di peringkat IPT. 

“Kejayaan ini tidak akan saya dapat capai tanpa sokongan dan dorongan dari Penolong Pegawai Belia dan Sukan UMP,  Abu Sufian Mokhtar dan juga rakan seperjuangan saya,” ujarnya.

Penglibatan aktiviti di luar kampus sangat membantunya mendapat anugerah ini. 

Beliau banyak terlibat dengan pelbagai aktiviti sepanjang berada di universiti dan menyandang pelbagai jawatan program antaranya Pengarah Elgineers Chess Championship 2020, Timbalan Pengarah UMP Chinese Chess Competition 2.0, Exco Modul Kursus Arbiter dan Pengurusan Kelab Catur, Exco Protocol Board Fair 2019, Exco Linesmen Judge Kejohanan Badminton Terbuka UMP 2018 dan 2019 Exco Program World with Youth 2019.
 
Ujarnya lagi, beliau pasti setiap kejayaan seseorang, pasti ada keluarga yang mendorong mereka. 

Atlet Golf UMP Lee Jia Huey terima Anugerah Emas Universiti

“Begitu juga dengan saya terutamanya ibu bapa saya adalah tangga kejayaan saya. 

“Keluarga saya sangat unik kerana saya merasakan ibu bapa saya sangat sistematik. 

“Ibu saya akan memberi sokongan bab pelajaran manakala ayah saya memberi sokongan dari segi sukan golf  kerana beliau merupakan pemain golf profesional,” tambahnya lagi.

Jelasnya, apabila saya menghadapi masalah dalam pelajaran, saya akan mengadu kepada ibu saya dan secara ajaibnya saya dapat menempuhi cabaran dengan tenang selepas mendengar nasihat dan teguran beliau. 

“Apabila saya berasa prestasi sukan golf saya makin merosot, ayah saya akan meneliti prestasisaya dan memberi nasihat untuk penambahbaikan. 

“Bukan itu sahaja, mereka juga turut memberi sokongan secara fizikal walaupun jauh dari tempat saya berada. 

“Contohnya, semasa Kejohanan Golf IPT 2019 yang dijalankan di Seri Menanti, Negeri Sembilan, mereka sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Negeri Sembilan untuk memberi sokongan kepada saya kerana ketika itu saya tidak dapat balik ke rumah semasa cuti pertengahan semester disebabkan oleh kejohanan ini,” ujarnya.

Selain itu, mereka juga sanggup menghantar saya dari Kuala Lumpur ke UMP jika diperlukan, sama seperti majlis konvokesyen ini. 

“Mereka jugalah yang menjadi punca saya terus berjuang supaya saya dapat menjadi seorang anak yang boleh membanggakan mereka.

“Selain ibu bapa, rakan-rakan diploma saya dan pensyarah juga sangat membantu saya dari segi pelajaran. 

“Setiap kali saya perlu keluar negeri untuk mewakili UMP, saya boleh bergantung kepada rakan-rakan saya untuk mengambil nota dan memberi tunjuk ajar kepada saya selepas pertandingan. 

“Malah, pensyarah juga sangat membantu dalam menjawab persoalan saya sehingga saya betul-betul faham subjek tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai rahsia kejayaan, Lee Jia Huey berkata pembahagian masa dan rehat yang secukupnya juga amat penting untuk berjaya. 

“Sebagai seorang pelajar sepenuh masa yang memegang jawatan dalam kelab dan juga atlet pada masa yang sama, tidak dinafikan ada masanya berasa sangat penat dan letih. 

“Oleh itu, pembahagian masa memainkan peranan penting untuk memastikan saya berjaya menyiapkan kerja-kerja dalam tempoh yang diperuntukkan.

“Saya mengakui saya perlu mendapatkan tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari untuk saya kekal segar pada keesokkan harinya, tetapi akan ada waktu di mana saya perlu tidur kurang dari empat jam untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Justeru, beliau akan menggantikan balik masa tidur yang tidak mencukupi itu pada keesokan harinya dengan tidur awal supaya dapat kekal segar untuk menghadiri kuliah.

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri