‘Budin’ graduan UMP terharu pensyarah berhati mulia buat kejutan
PAYA BESAR, 8 November 2022 – Tular di Facebook seorang pensyarah yang berkongsi keterujaannya membuat kejutan kepada pelajarnya Muhamad Syihabuddin Abdul Wahab atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Budin” bagi meraikan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17 baru-baru ini telah meraih perhatian dan meruntun hati ramai netizen.
Ts. Dr. Mohamad Zairi Baharom yang merupakan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejurteraan Mekanikal dan Automotif UMP berkata, pada asalnya ciapannya di Facebook sekadar berkongsi kegembiraan bersama pelajar.
“Namun tidak sangka, ia turut meraih simpati orang lain untuk sama-sama membantu dan memberi kata-kata semangat kepada Budin.
“Perkenalannya dengan Budin, sejak Budin mengambil diploma lagi kerana di bawah seliaan saya untuk projek akhir.
“Selepas itu, Budin telah menjalani latihan industri bersama UMP Technology yang kebetulan di bawah seliaan saya juga,” katanya
Ujarnya, beliau banyak mengetahui kisah kehidupan sedih Budin setelah ayahnya meningggal dunia dan mereka sekeluarga hilang mata pencarian.
“Memandangkan ibunya tidak bekerja dan masih mempunyai adik yang masih bersekolah, Budin sangat berhati-hati dalam pengurusan kewangan,” katanya.
“Jika diikutkan, Budin bergraduasi di majlis konvokesyen ini, justeru, saya ada bertanyakan mengenai kehadiran Budin ke majlis konvokeyen ini dan Budin menyatakan tidak hadir kerana mempunyai masalah kewangan bagi urusan pembayaran yuran pendaftaran.
“Saya amat terkejut dengan jawapannya kerana pada waktu itu tarikh daftar kehadiran majlis konvokesyen telah pun tutup,” katanya.
Kemudian, Ts. Dr. Mohamad Zairi, terus menghubungi Sekretariat Majlis Konvokesyen untuk mendaftarkan nama Budin bagi menghadiri majlis tersebut.
Ujar beliau lagi, setelah membuat bayaran, pihak jawatankuasa terus membantu bagi memastikan segala urusan pendaftaran kehadiran berjaya.
Justeru, ketika majlis konvokesyen berlangsung Ts. Dr. Mohamad Zairi membawa rakan-rakan Budin bagi meraikannya bagi mengantikan ibu dan adiknya yang tidak dapat hadir ke majlis itu.
Ts. Dr. Mohamad Zairi berharap, Budin akan merasa gembira seperti graduan lain setelah berusaha dan semoga bersemangat untuk terus berjaya.
Ketika dihubungi Budin, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal ini berkata, beliau terkejut dan terharu apabila diberitahu beliau boleh menghadiri majlis konvokesyen tersebut.
Beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarahnya, Ts. Dr. Mohamad Zairi yang banyak berkorban sepanjang pengajiannya dan sanggup menjelaskan yuran pendaftaran ke majlis konvokesyen ini.
“Saya tekad ingin belajar bersungguh-sungguh dan ingin membalas jasa insan-insan yang banyak membantu saya selama ini.
“Walaupun ibu dan adik saya tidak dapat hadir ke majlis ini, dengan kehadiran Ts. Dr. Mohamad Zairi dan rakan-rakan sangat mengujakan dan mengembirakan saya.
“Setiap orang pasti ada keinginan untuk meraikan dengan orang tersayang setelah bertungkus-lumus bertahun-tahun.
“Namun, bila mengenangkan masalah kewangan yang dihadapi, saya memilih untuk tidak hadir,” ujarnya.
Kini Budin sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis) dan pastinya kenangan ini sentiasa terpahat di hatinya apatah lagi mengenangkan begitu mulia sikap pensyarah dan orang-orang yang sentiasa membantunya selama ini.
“Hanya Allah sahaja yang membalas setiap kebaikan,” katanya.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 1064 views