CEO MRC dinobatkan penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat
PAYA BESAR, 9 Ogos 2022 – Sentiasa mencabar diri melangkaui kemampuan dan mencari idea baharu tanpa berasa selesa dengan keadaan semasa menjadi rahsia kejayaan buat Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad yang berjaya menamatkan Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), 3.86 sekali gus menerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat – Program Profesional Eksekutif dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 baru-baru ini.
Menurutnya, tempoh pengajian dan pembelajaran beliau bersama UMP telah mendatangkan manfaat dan memberi sudut pandang baharu.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nor Hizwan sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mengawal selia operasi korporat, menentukan hala tuju syarikat, meneroka pasaran baharu, mencatur pelan kewangan dan termasuklah menjaga hubungan industri serta menjalankan komunikasi strategik dengan pelbagai pihak.
Baginya pengalaman bersama rakan-rakan graduan dan tenaga pengajar universiti banyak memberi sudut pandangan berbeza yang dapat diaplikasikan dalam memahami pandangan dari naratif yang berbeza.
Menurut Nor Hizwan, beliau sentiasa merasakan keperluan dan sedaya upaya untuk membantu insan lain dalam apa jua keadaan serta berkongsi ilmu dan pengalaman yang dimiliki.
Mengulas lanjut mengenai cabaran yang dihadapi tatkala pandemik COVID-19 dan mengimbangi tuntutan kerjaya bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Cabaran terbesar apabila terpaksa mengehadkan pertemuan dengan penyelia untuk bertukar idea dan pandangan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malahan ia mencabar kesungguhan dan memerlukan fokus yang tinggi untuk menamatkan pengajian meskipun berdepan dengan pelbagai halangan dan kesukaran,” katanya.
“UMP antara institusi pendidikan yang mempunyai visi tersendiri dan proaktif dalam memastikan peluang pembelajaran kepada golongan profesional untuk melengkapkan diri mereka dengan persijilan.
“Keunikan pembelajaran secara hibrid yang menggabungkan pembelajaran secara maya dan fizikal memberi kelebihan kepada graduan UMP dalam melengkapkan pengajian mereka,” ujarnya.
Selain itu, untuk sentiasa menjadi relevan, beliau turut mencadangkan agar pihak UMP mempergiatkan lagi kolaborasi bersama pihak industri agar UMP terus menerus menjadi penyumbang kepada keperluan negara dalam IR 4.0 yang mencakup segmen digitalisasi, robotik, teknologi termasuklah smart-manufacturing, metaverse dan blockchain.
Justeru, pihaknya mempelawa kepada universiti untuk meneroka lebih banyak peluang termasuk geran penyelidikan dalam memanfaatkan kerjasama dengan pihak MRC.
Katanya, kolaborasi ini akan memberi kelebihan kepada pihak universiti dan pelajar dalam pelbagai sudut termasuklah dalam bidang penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi.
“Setakat ini pihak MRC telah menaja seramai tujuh orang pelajar di UMP sejak tahun 2010 secara pengajian sepenuh masa dan dijangkakan jumlah ini dijangka akan bertambah pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau menerima anugerah daripada Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dalam sesi pertama.
Turut menerima anugerah yang sama, Datuk M. Asojan a/l Muniyandy yang merupakan graduan Master Eksekutif Pentadbiran Perniagaan yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.92.
Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 314 views