Skip to main content
Datuk M. Asojan raih Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat

Datuk M. Asojan raih Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat

PAYA BESAR, 6 Ogos 2022 – Meskipun sibuk dengan tugas hakiki selaku Naib Presiden Malaysia India Congress (MIC) dan Unit Manager bukan menjadi titik penghalang buat anak kelahiran Durian Tunggal Melaka ini untuk meraih kejayaan.
 
Datuk M. Asojan a/l Muniyandy yang memulakan karier sebagai guru pada Disember 1989 telah terlibat dalam bidang insurans secara sambilan. 

Setelah sepuluh tahun terlibat dalam bidang perguruan, beliau memilih untuk meletakkan jawatan dan terlibat sepenuh masa dalam bidang insurans pada tahun 2000.
 
Beliau yang aktif dalam bidang insurans berkata, kejayaan demi kejayaan diraih dan mula mencapai pelbagai anugerah serta pengiktirafan daripada syarikat insuransnya. 

Ketika inilah, beliau berhasrat untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme dalam bidang pengurusan perniagaan. 

Justeru, beliau mula mengikuti pengajian di UMP Advanced pada tahun 2020 dan 2021.
 
Berkongsi kejayaan, beliau berkata penjualan insurans melebihi RM1juta melayakkan beliau dipilih menjadi anggota Million Dollar Round Table Club (MDRT) sebagai satu pencapaian berprestij peringkat dunia.
 
Katanya, beliau berharap agar UMP dapat menawarkan  bidang doktor falsafah (PhD) seperti program Master. 

“Peluang ini boleh membuka ruang untuk UMP setanding dengan universiti tempatan lain yang menawarkan pengajian dalam bidang falsafah kedoktoran,” ujarnya.
 
Datuk M. Asojan berjaya merangkul Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat -Program Profesional/Eksekutif dalam Majlis Konvokesyen Ke-16 UMP setelah berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92.     
 
“Sebagai seorang yang memegang disiplin sebagai prinsip hidup, saya akan sentiasa memastikan saya berdisiplin dalam melakukan segala perkara baik dalam pekerjaan mahupun kehidupan seharian,” katanya. 
 
Ditanya apakah cabaran ketika era pandemik COVID-19, M. Asojan berkata, ia sesuatu yang amat mencabar.
 
“Sebelum ini, kuliah dilakukan secara bersemuka iaitu pensyarah akan berada di hadapan kita dan sebarang kemusykilan dapat diajukan terus pada ketika itu,” katanya.
 
M. Asojan berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang doktor falsafah (PhD). 

Beliau menerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor di Dewan Kompleks Sukan UMP, Kampus Gambang. 

Datuk M. Asojan raih Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim