Elisha idam fast track PhD jadi pembakar semangat buru Anugerah Dekan setiap semester
GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Impian untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) melalui saluran pantas (fast track) akhirnya tercapai apabila berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Kemanisan kejayaan ini dikecapi oleh Elisha Claret a/p Wilson Dass, 23, setelah usaha keras beliau untuk memastikan menerima Anugerah Dekan pada setiap semester sejak mula mendaftarkan di UMPSA pada tahun 2019.
Katanya, setiap kali kuliah, beliau akan memberikan tumpuan sepenuhnya dan fokus terhadap penyampaian yang disampaikan oleh pensyarah.
“Ketika di tahun pertama, segalanya berjalan lancar, namun ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, pelajaran saya terjejas kerana agak sukar membiasakan diri dengan kaedah pembelajaran dalam talian.
“Namun, saya bersyukur kerana masih mampu mengekalkan Anugerah Dekan walaupun hanya memperoleh GPA 3.6 pada waktu tersebut.
“Saya seterusnya kembali bangkit selepas setahun dan mampu memperoleh GPA melebihi 3.8 pada semester berikut,” katanya.
Hasil penat lelahnya juga terbalas apabila dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang oleh pihak fakulti pada tahun 2022.
Dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-18, Elisha yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.73. dari Fakulti Sains Teknologi dan industri (FSTI) menerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita.
Tambahnya lagi, sokongan ibu bapa juga antara yang menjadi pendokong kepada semangat beliau untuk berjaya.
“Ibu bapa kerap menasihati supaya jangan takut untuk mencuba kerana kita tidak akan pernah merasa hasilnya.
“Nasihat ini yang menjadi kekuatan saya untuk mencapai impian yang diidamkan selama ini.
“Saya juga bertuah kerana berpeluang menjadi sebahagian warga UMPSA,” kataya.
Di kampus ini, beliau dapat belajar dengan tenang kerana persekitarannya yang kondusif, lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti kelas dan makmal serta pensyarah yang sangat memahami keadaan pelajar.
Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA
- 321 views