Fokus di dalam kelas kunci kejayaan Loh Yew Jin penerima Anugerah Emas Universiti
GAMBANG, 21 Oktober 2023 - ‘Tiada rahsia untuk berjaya selain fokus dan disiplin yang tinggi menjadi amalan dalam kehiduan seharian.’
Itulah yang menjadi pegangan buat penerima Anugerah Emas Universiti, Loh Yew Jin, 21, yang berjaya bergraduasi dengan cemerlang di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18.
Loh yang menamatkan pengajiannya dalam Diploma Kejuruteraan Awam dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) berkata, kejayaan itu adalah hadiah kepada keluarganya yang berada di Sungai Petani, Kedah.
“Bapa saya bekerja sebagai mekanik motosikal manakala ibu sebagai suri rumah.
“Biarpun terpaksa mengadaptasi diri dengan tiga kaedah pembelajaran yang berbeza iaitu secara dalam talian, hibrid dan fizikal, namun semua itu bukan alasan bagi saya untuk tidak meraih Anugerah Dekan pada setiap semester,” katanya.
Beliau yang meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94 pernah memperoleh pencapaian PNG 4.00 ketika di semester tiga.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara dalam talian.
“Setiap kali kelas bermula, saya akan memastikan kehadiran selalu tepat supaya tidak teringgal subjek.
“Namun yang menjadi permasalahannya apabila membuat tugasan dalam kumpulan, saya perlu mencari ahli kumpulan yang lain dan ia agak sukar kerana saya belum mengenali rakan sekursus dengan lebih ramai,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, selepas setahun, pembelajaran secara hibrid banyak membantu apabila dapat berjumpa dengan pensyarah dan rakan sekelas secara bersemuka.
“Ini membuatkan kami lebih mudah berbincang dan bertukar idea untuk menyiapkan tugasan yang diberikan,” katanya.
Loh yang kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di fakulti yang sama berkata, anugerah yang diraihnya pada hari ini menjadi motivasi buat dirinya untuk mengulangi kejayaan yang sama pada masa akan datang.
“Jujurnya, saya sangat gembira dan teruja menerima anugerah dan transkrip diploma pada hari ini.
“Segala penat lelah yang dirasai sepanjang tiga tahun pengajian terbalas apabila melihat senyuman yang terukir di bibir kedua orang tua saya,” katanya.
Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA
- 191 views