KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UMPSA
GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan watikah pemasyhuran Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Seri Paduka Baginda merakamkan ucapan tahniah kepada Paduka Anakanda Pemangku Raja Pahang atas pemasyhuran sebagai Pro-Canselor UMPSA.
Baginda bertitah semoga dengan pemasyhuran ini akan membawa dimensi dan idea baharu bagi UMPSA untuk terus dimartabatkan sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang unggul di negara.
Baginda bertitah demikian Titah DiRaja Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, anakanda YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah diputerakan pada tanggal 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan, Pahang pada tahun 2002 hingga 2005.
Baginda meneruskan pendidikannya di Caldiccott Preparatory School, London, United Kingdom pada tahun 2006 hingga 2009 dan seterusnya ke Sherbone School, London, United Kingdom dari tahun 2009 hingga 2014.
Baginda seterusnya melanjutkan pengajian di Geneva School of Diplomacy and International Relations, Switzerland ijazah dalam bidang Hubungan Antarabangsa.
Selain itu, baginda juga telah menjalani kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst bermula 1 Januari 2019 hingga 14 Disember 2019.
Sebagai pewaris takhta Kesultanan Pahang Darul Makmur, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang pada 22 Januari 2019 setelah Seri Paduka Ayahanda Baginda ditabal sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Ke-6.
Baginda kemudiannya dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berikutan pelantikan Seri Paduka Ayahanda sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari 2019.
Pada tanggal 3 September 2019, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) (sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, KUIPSAS).
Sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Baginda mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menguruskan negeri dan juga rakyat.
Ketokohan Baginda, saling tidak tumpah seperti Seri Paduka Ayahanda dan Paduka Bondanya yang begitu prihatin dengan keadaan semasa rakyat di negeri ini.
Baginda sering turun padang untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat. Sikap mesra dan berjiwa rakyat memudahkan baginda mendekati pelbagai golongan dengan turut serta beraktiviti dan baginda sentiasa ada apabila rakyat memerlukan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa bertitah kepada rakyat terutamanya di Negeri Pahang Darul Makmur supaya mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam menguruskan khazanah dan bumi ini dengan sebaiknya juga dalam kehidupan seharian.
Keprihatinan Baginda terhadap Harimau Malaya yang merupakan simbol keberanian, kebanggaan dan kekuatan rakyat Malaysia adalah cerminan dan keprihatinan Baginda terhadap warisan biodiversiti serta isu-isu alam sekitar.
Sebagai orang muda, Baginda dekat dengan belia dan sering beraktiviti bersama serta aktif dalam aktiviti sukan. Selain sukan berkuda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut meminati sukan ragbi.
Hubungan baginda dengan institusi ini telah bermula sejak zaman kanak-kanak lagi, apabila baginda sering mengikuti Seri Paduka Ayahanda berangkat bercemar duli ke universiti.
Atas ketokohan dan keprihatinan Baginda terhadap aktiviti-aktiviti kesukarelawanan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan dilantik sebagai Penaung Diraja Sukarelawan UMPSA.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mewarisi sikap Paduka Nenda dan Seri Paduka Ayahanda baginda yang tidak kekok untuk bersama- sama masyarakat.
Legasi ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ yang diwarisi daripada Paduka Nenda dan Seri Paduka Ayahanda baginda menyebabkan kehadiran baginda dalam kalangan masyarakat amat disenangi oleh semua.
Disediakan oleh: Safriza Binti Baharuddin dan Anuar Bin Abdul Aziz Pusat Komunikasi Korporat
- 538 views