Nurazyyati terima Anugerah Professor Dato' Dr. Mashitah Mohd Yusoff
PAYA BESAR, 6 November 2022 - Dunia telah dikejutkan dengan dugaan melandanya pandemik COVID-19 yang begitu banyak menjejaskan kesihatan, kewangan dan meragut banyak nyawa.
Di samping itu, ia sangat memberi kesan buat pelajar untuk meneruskan pengajian secara dalam talian.
Namun yang demikian, ia tidak pernah menghalang buat pemegang Anugerah Profesor Dato' Dr. Mashitah Mohd Yusoff ini meraih kejayaannya.
Pemilik nama Nurazyyati Inas ini berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan Kepujian kelas pertama.
Katanya, ketika pandemik COVID-19 mula melanda, saya amat tertekan dengan pembelajaran di rumah dan membuatkan saya hilang fokus.
“Saya tinggal bersama abang dan kakak ipar sepanjang kelas secara dalam talian berlangsung.
“Semasa di rumah, pada waktu siang saya perlu menjaga anak saudara ketika abang dan kakak ipar keluar bekerja.
“Memang sungguh mencabar ketika kelas dijalankan secara dalam talian kerana saya terpaksa menjaga anak saudara yang ketika itu berusia empat bulan,” katanya berkongsi pengalaman.
Dalam pada itu, gadis manis berusia 23 tahun ini turut membantu ibunya yang merupakan seorang usahawan wanita yang membuat perniagaan menjual popia simpul setelah selesai kelas dalam talian semasa pandemik.
Beliau juga turut menjadi ejen ibunya sendiri sewaktu masih belajar di fakulti untuk memperoleh wang saku.
Manakala ayahnya seorang yang tegas namun sangat penyayang.
Kejayaan ayahnya yang banyak memenangi anugerah inovasi membuatkannya terinspirasi untuk berjaya sepertinya.
Beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang.
Malahan kejayaan ini beliau hadiahkan buat kedua ibu dan bapanya yang telah banyak berkorban selama ini.
“Alhamdulillah, berkat doa kedua ibu bapa, kini saya berada di tahap ini.
“Kini, saya bertugas sebagai jurutera elektrikal di Brownfield Engineering di Damansara,” ujar anak kelima daripada enam orang adik-beradik ini.
Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 213 views