Pasangan suami isteri terima anumerta anak
GAMBANG, 22 Oktober 2023 - Pasangan suami isteri kuatkan semangat bagi menerima skrol Ijazah anak mereka secara anumerta yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 3 Oktober 2023.
Adek@Che Ahmad, 46 dan Siti Yuana Janamin, 44 mewakili Allahyarhamah Asniza Adek@Che Ahmad untuk menerima skrol Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Pembuatan yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin pada hari kedua Majlis Konvokesyen Ke-18 hari ini.
Menurut Siti Yuana Janamin, impian anaknya untuk menghadiri majlis konvokesyen tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan baru-baru ini iaitu 19 hari sebelum majlis konvokesyen.
“Lebih menyedihkan semua persiapan pakaian dan perancangan telahpun dibuat serta arwah juga telah berjanji dengan rakan-rakannya untuk bersama-sama mengambil jubah konvo pada tarikh yang dijanjikan.
“Namun, siapalah kita untuk melawan takdir, Allah SWT lebih menyayanginya.
“Arwah seorang anak yang bertanggungjawab, penyayang dan berjiwa kental,” jelas ibu kepada empat orang anak ini yang mengakui reda dengan pemergian anak sulungnya itu.
Sepanjang sesi pengajian di UMPSA, beliau sentiasa berkongsi aktivitinya dan aktif dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) sehingga ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera berpangkat Lefternan Muda.
“Saya sering ungkapkan, Along kena kuat untuk berjaya, tatkala beliau mengadu sentiasa sibuk dengan tugasan atau tatkala berkongsi masalahnya.
“Jadi hari ini, kekuatan itulah yang menjadi pendorong saya hadir ke majlis konvokesyen ini,” katanya.
Walaupun arwah telah tiada, namun mereka sekeluarga amat berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya dan menjadi kenangan sepanjang hayat.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 110 views