Skip to main content

Patriotisme di Hujung Jari: Dari Klik kepada Tindakan

Jalur Gemilang lazimnya dikibarkan di rumah dan kenderaan. Hari ini, ramai anak muda turut meletakkannya pada gambar profil WhatsApp dan media sosial. Adakah itu tanda patriotisme, atau sekadar ikut-ikutan? Persoalan ini antara yang dikupas dalam Wacana Ilmu Sains Sosial (WISS) bertajuk ‘Generasi Muda dan Masa Depan Negara Bangsa: Pewaris atau Pemerhati?’ anjuran Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), pada 4 November 2026.

Ahli panel wacana, Ketua Jabatan Sains Kemanusiaan, PSK, Dr. Mohd Rahimi Ramli, bukan asing dengan persoalan ini. Tesis PhD beliau di Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk ‘Nilai dan Pengamalan Patriotisme dalam Kalangan Masyarakat Sabah di Malaysia’, pandangannya jelas: patriotisme tidak hilang dalam kalangan generasi muda. Ia cuma berubah bentuk.

Bentuk baharu, sempadan yang sama
Menurut beliau, setiap generasi mempunyai pengalaman kenegaraan yang berbeza, maka cara mereka menzahirkan cinta akan negara juga berbeza. Bendera pada gambar profil dan komen tentang dasar kerajaan di media sosial ialah bentuk penyertaan yang tidak wujud dalam bentuk ini pada zaman generasi terdahulu.

Perubahan bentuk ini tidak salah. Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang manifestasi patriotisme perlu berpaksikan dua sempadan, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Selagi berada dalam lingkungan itu, ruang untuk anak muda menyatakan cinta akan negara dengan cara tersendiri wajar dihormati, bukan dicurigai.

Membuta tuli atau konstruktif?
Beliau membezakan antara dua jenis patriotisme. Yang pertama ialah patriotisme membuta tuli, iaitu taat tanpa pertimbangan dan menolak sebarang teguran. Yang kedua ialah patriotisme konstruktif, yang disertai pemikiran kritis dan rasional, termasuk keberanian untuk menegur, mengkritik dan mencadangkan pembaharuan.

Perbezaan ini mempunyai sandaran akademik. Ahli psikologi politik Robert Schatz, Ervin Staub dan Howard Lavine mengembangkan dan menguji secara empirikal konsep blind patriotism dan constructive patriotism dalam kajian mereka yang diterbitkan dalam jurnal Political Psychology pada 1999. Dalam kerangka ini, kritikan terhadap negara tidak semestinya tanda kurang setia. Ia boleh lahir daripada rasa sayang yang mahukan negara menjadi lebih baik. Sebaliknya, ketaatan yang menolak semua teguran boleh menyukarkan sesuatu kesilapan dasar dikesan dan dibetulkan. Negara yang dicintai secara membuta tuli tidak semestinya negara yang terpelihara dengan baik. Generasi muda yang berani bertanya, dengan cara yang beradab, sebenarnya menyumbang kepada kesejahteraan negara itu sendiri.

Namun, kritikan yang konstruktif ada syaratnya. Ia perlu matang, berasaskan fakta, disalurkan melalui saluran yang betul, dan tidak melanggar prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara. Ahli panel kedua, Profesor Madya Dr. Zaini Othman dari Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menambah satu lagi prinsip: adab dulu, kemudian baru ilmu. Mengkritik tanpa menyemak fakta, atau menularkan maklumat yang belum disahkan, bukan patriotisme. Ia boleh merosakkan.

Tahu belum tentu amal
Jika patriotisme masih wujud, di manakah masalahnya? Dapatan kajian Dr. Mohd Rahimi sendiri memberikan petunjuk. Dalam artikel yang diterbitkan dalam Jurnal Kinabalu pada 2020, beliau dan rakan-rakan mengkaji 500 responden daripada masyarakat Kadazandusun, Bajau dan Murut di Sabah. Kajian itu menilai enam nilai patriotisme: setia, rela berkorban, bangga, kekitaan, berdisiplin, serta gigih dan produktif.

Hasilnya menarik. Sebanyak 77.8 peratus responden mempunyai tahap pengetahuan patriotisme yang tinggi. Namun, hanya 50.2 peratus mencapai tahap amalan yang tinggi, manakala selebihnya, 49.8 peratus, berada pada tahap sederhana. Ini bermakna wujud jurang sebanyak 27.6 mata peratusan antara tahu dengan amal. Pengkaji menyimpulkan bahawa masih ramai yang kurang menjadikan nilai patriotisme sebagai amalan hidup.

Kajian ini melibatkan masyarakat peribumi Sabah, bukan khusus golongan belia atau mahasiswa. Namun, ia menunjukkan satu perkara penting: mengetahui nilai patriotisme tidak semestinya bermakna mengamalkannya. Dalam wacana, beliau menyatakan bahawa mahasiswa pada asasnya patriotik, tetapi cara mereka menzahirkannya masih perlu diperhalusi.

Aktivisme di hujung jari
Di sinilah media sosial menjadi persoalan. Pengkritik menggunakan istilah slacktivism (gabungan slacker dan activism) untuk menggambarkan sokongan yang hanya dizahirkan melalui klik, tanda suka atau perkongsian, tanpa tindakan sebenar. Menukar gambar profil kepada Jalur Gemilang mudah. Menyertai program komuniti atau membaca Perlembagaan Persekutuan memerlukan usaha.

Dr. Mohd Rahimi tidak menafikan risiko ini. Beliau mengingatkan bahawa banyaknya reaksi di media sosial tidak semestinya mencerminkan penglibatan yang mendalam. Sesuatu isu yang tular tidak bermakna generasi muda benar-benar memahaminya. Yang lebih penting ialah bagaimana isu itu dibincangkan: sejauh mana hujahnya berasaskan fakta, dan sejauh mana ia rasional.

Beliau juga mengingatkan bahaya terperangkap dalam ruang gema (echo chamber) dalam Internet, iaitu keadaan apabila seseorang hanya menerima maklumat yang mengukuhkan pandangannya sendiri. Keadaan ini boleh menolak seseorang ke arah pandangan yang ekstrem, dan membuka ruang kepada manipulasi maklumat oleh pihak tertentu.

Namun, media sosial tidak semestinya musuh patriotisme. Ia boleh menjadi pintu masuk. Seseorang yang mula prihatin melalui satu hantaran boleh terdorong untuk membaca lebih lanjut, menyertai perbincangan yang matang, dan akhirnya bertindak. Persoalannya ialah sama ada perjalanan itu berhenti di skrin, atau diteruskan ke dunia nyata.

Dari tahu kepada tindakan
Untuk itu, beliau menggariskan proses berperingkat. Peringkat pertama ialah pengetahuan, iaitu memahami sejarah dan sistem kenegaraan. Peringkat kedua ialah penghayatan, termasuk membetulkan persepsi tentang tanggungjawab kepada negara. Bagi membetulkan persepsi ini, beliau sering mengajak pelajarnya berfikir tentang pasport. Kita boleh ke luar negara bukan kerana kehebatan diri sendiri, tetapi kerana pasport Malaysia yang kita pegang. Ertinya, negara telah lebih dahulu memberi kepada kita. Peringkat ketiga ialah penilaian, iaitu menimbang kesan baik dan buruk sesuatu tindakan kepada diri, keluarga dan negara. Hanya selepas melalui semua peringkat ini, baharulah kefahaman itu dapat diterjemahkan kepada tindakan.

Kursus kenegaraan di universiti, termasuk Aspirasi Negara Bangsa, wajar dilihat dalam kerangka ini. Kata beliau, kursus seperti ini bukan sekadar untuk mendapat gred yang tinggi, tetapi untuk difahami dalam konteks yang betul dan dipraktikkan dengan cara yang sepatutnya.

Patriotisme di hujung jari tidak salah. Akan tetapi, ia hanya bermakna jika jari itu digerakkan oleh fikiran yang berilmu dan hati yang beradab dan jika ia akhirnya membawa kepada tindakan di luar skrin.
 

AHMAD IBRAHIM
Oleh: AHMAD IBRAHIM
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my

Penulis ialah pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim