Ucapan selamat maju jaya untuk para graduan UMPSA: Sematkan sejuta keazaman untuk menakluk dunia!
Di dalam kehidupan seseorang, terdapat beberapa perkara yang menjadi peristiwa yang akan kekal abadi tersemat dalam ingatan selamanya. Bagi seorang pelajar universiti, salah satu perkara besar di dalam kehidupan seseorang adalah pada majlis konvokesyen setelah tamat pengajian di menara gading.
Seramai 4,854 orang graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah selamat menerima skrol masing-masing bersempena Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 21 hingga 24 Oktober 2023 di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Setinggi-tinggi ucapan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi di atas kejayaan para penuntut menamatkan tempoh pengajian yang mempunyai cabaran tersendiri. Juga penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang berterusan membantu graduan sekalian iaitu ibu bapa, keluarga, pensyarah, staf universiti, rakan-rakan kuliah mahupun pihak-pihak yang menaja pengajian.
Sematkan azam yang tinggi untuk terus berjaya di dalam kehidupan, seterusnya membalas kembali segala pengorbanan semua pihak yang menyumbang ke arah kejayaan. Walaupun telah melangkah keluar dari alam universiti, janganlah memutuskan terus segala hubungan, sebaiknya teruslah aktif sebagai alumni UMPSA. Teruslah berhubung dengan rakan-rakan UMPSA dan berkongsilah jika ada peluang kerjaya yang dapat membantu rakan-rakan sewaktu di universiti.
Melangkahlah ke luar dengan penuh yakin kerana anda telah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan serta kebolehan untuk bersaing dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Sentiasalah ingat segala pesanan para pendidik dan jagalah nama baik UMPSA sepanjang waktu.
Tahniah atas pencapaian anda dalam menamatkan pengajian universiti!
Berikut adalah 15 saranan untuk membantu graduan UMPSA berjaya dalam pekerjaan dan kehidupan selepas menamatkan pengajian.
1. Tetapkan matlamat dan rancangan kerjaya
Fikirkan tentang apa yang anda ingin capai dalam kerjaya. Tetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Buat perancangan kerjaya yang jelas.
2. Jaringan sosial
Membina rangkaian hubungan profesional adalah penting. Sertai pelbagai kelab industri, seminar, dan persidangan yang berkaitan dengan bidang.
3. Kemahiran soft skills
Selain kemahiran teknikal, graduan perlulah sentiasa menambah baik kemahiran soft skills seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah. Kemahiran ini sangat berharga dalam menghadapi cabaran di alam pekerjaan.
4. Menjadi pelajar seumur hidup (lifelong learner)
Pembelajaran tidak berakhir dengan menamatkan pengajian. Teruskan untuk memperkayakan diri dengan membaca buku, mengikuti kursus dan mendalami pengetahuan dalam bidang anda.
5. Ketahui industri
Fahami arah aliran, cabaran dan perkembangan dalam industri anda. Ini akan membolehkan anda selalu relevan dan bersiap sedia untuk menghadapi perubahan.
6. Tekad Azam untuk bekerja keras dan berdedikasi
Berusaha keras, tunjukkan dedikasi dan berikan yang terbaik dalam pekerjaan anda. Prestasi anda akan diperhatikan dan dihargai oleh orang-orang di sekeliling anda.
7. Keseimbangan kerja-hidup (balanced life)
Jangan lupakan pentingnya menjaga keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Ini membantu mengelakkan keletihan dan menjaga kesihatan fizikal dan mental anda.
8. Mencari mentor dan pembimbing
Carilah mentor dalam bidang anda yang boleh memberikan nasihat dan panduan. Pengalaman mereka sangat berharga untuk kemajuan kerjaya dan kehidupan anda.
9. Pengurusan kewangan yang bijak
Belajarlah tentang pengurusan kewangan. Tetapkan bajet, sentiasa menyimpan untuk masa depan dan uruskan hutang dengan bijak.
10. Kenali kekuatan diri
Kenali diri sendiri, apa yang menjadikan anda unik dan gunakan kelebihan anda untuk membezakan diri daripada yang lain di dalam bidang anda.
11. Berinteraksi dengan diversiti dan kepelbagaian budaya
Alam pekerjaan memberikan peluang untuk bertemu dengan ramai orang yang mempunyai latar belakang dan kebudayaan yang berbeza dengan kita. Berinteraksi dan bekerjasama dengan orang dari latar belakang yang berbeza boleh memperkayakan pengalaman anda dan memberikan pelbagai kelebihan.
12. Kembangkan kesedaran teknologi
Kembangkan kesedaran teknologi dan fahami bagaimana perkembangan teknologi mempengaruhi industri anda.
13. Tetapkan objektif peribadi
Selain daripada matlamat kerjaya, tetapkan juga matlamat peribadi dan kehidupan seperti kesihatan, keluarga dan perkembangan diri.
14. Sokong komuniti
Sentiasa bersedia untuk menyumbang kembali kepada masyarakat atau komuniti anda melalui aktiviti sukarela atau bentuk sumbangan lain. Ini boleh memberikan rasa kepuasan yang mendalam dan akan menyebabkan kita melihat kehidupan secara lebih holistik.
15. Jangan takut gagal
Kejayaan sering datang dengan perkembangan dan ketidakpastian. Jangan takut untuk mengambil risiko dan belajar daripada kegagalan.
Ingatlah bahawa perjalanan selepas menamatkan pengajian adalah proses yang berterusan. Kejayaan mungkin tidak datang dengan cepat, tetapi dengan usaha dan komitmen yang berterusan, anda boleh mencapai matlamat dan cita-cita anda dalam pekerjaan dan kehidupan.
Selamat maju jaya!
Penulis-penulis adalah Guru Bahasa Melayu, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: adnan@umpsa.edu.my, hafizoah@umpsa.edu.my dan nraha@umpsa.edu.my
- 1197 views