KUANTAN: Kecerdasan buatan (AI) antara cabaran utama yang bakal dihadapi umat Islam sekiranya ia tidak dapat dikawal sepenuhnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Katanya, antara isunya adalah membabitkan etika penggunaan data dan keselamatan maklumat selain krisis identiti dan akidah akibat manipulasi suara, wajah, dan realiti maya.
"Penyebaran maklumat palsu berpotensi mengelirukan masyarakat termasuk terhadap ajaran Islam. Oleh itu, jika tidak dikawal, teknologi (AI) boleh menjadi alat yang meruntuhkan kepercayaan, bukannya mengukuhkannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Tamadun dan Sains Kemanusiaan (i-CONSCIENCE 2025) di sini hari ini.