Kuasai ilmu dan kemahiran bina jati diri mahasiswa - NC
KUANTAN, 13 Oktober 2022 - Generasi muda diseru agar menjadi golongan terpelajar yang bukan setakat menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini, bahkan mempunyai jati diri yang kukuh.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pengalaman sepanjang di universiti akan menjumpai suara dan cita-cita atau ‘your true calling’ sekaligus mencorakkan perjalanan yang tidak akan pelajar lupakan dalam mencapai puncak menara gading.
Ujarnya, kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading merupakan impian setiap anak muda untuk mencorak masa depan masing-masing.
Beliau amat berharap agar semua pelajar dan warga UMP sentiasa berpegang teguh kepada lima nilai teras UMP agar visi untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dapat dicapai.
Tambahnya lagi, matlamat perjuangan jerih perih setiap pelajar adalah untuk mendapatkan suatu pekerjaan yang stabil selepas tamat pengajian supaya dapat meningkatkan taraf hidup diri sendiri dan keluarga masing-masing.
“UMP ialah sebuah universiti teknikal yang bercirikan teknologi dan kejuruteraan dan sentiasa beraspirasi untuk menjadi sebuah universiti inovatif dan berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.
Berkongsi mengenai kebolehpasaran graduan, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, kerjasama UMP bersama rakan industri juga sebahagian daripada perkongsian kepakaran penyelidikan asas dan aplikasi gunaan serta kemahiran teknikal bagi memenuhi kehendak dan keperluan industri semasa.
“UMP juga telah menerima geran dari SME Corp Malaysia sebanyak RM240,000 untuk melahirkan usahawan siswa yang berdaya saing dan akan menjadi pencipta pekerjaan (job creator).
“Ini sekali gus menyokong usaha ke arah melahirkan lebih ramai usahawan siswa,” katanya semasa berucap dalam Majlis Amanat Naib Canselor sempena Minggu Induksi Siswa 2022 bertempat di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang.
Lebih membanggakan katanya, UMP mempunyai peratusan yang baik dari aspek kebolehpasaran graduan iaitu 96 peratus pada tahun 2021.
“Ini membuktikan para graduan lepasan UMP sangat dicari (highly sought-after) dalam pasaran pekerjaan yang mencabar di negara kita,” ujarnya.
Beliau turut menasihati agar pelajar dapat menggunakan masa dan peluang dengan sebaik mungkin untuk mendapat kecemerlangan akademik.
“Namun, janganlah lupa juga untuk menggunakan sedikit masa untuk beriadah, bergembira dan bergaul dengan komuniti serta rakan-rakan siswa siswi dari pelbagai negeri di Malaysia dan antarabangsa.
“Begitu juga penyertaan kelab-kelab dan aktiviti-aktiviti menarik yang ada perlu diambil kesempatan untuk membina karakter diri sendiri dan meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing,” katanya.
Program turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi dan dekan-dekan dengan seramai 1,459 orang pelajar baharu yang mula mendaftar menerusi pandu lalu pada 11 dan 12 Oktober yang lalu.
Daripada jumlah tersebut seramai 990 orang pelajar mengikuti pengajian di UMP Kampus Gambang manakala seramai 449 orang di UMP Pekan.
Pada masa yang sama, bacaan ikrar dilafazkan diketuai oleh Muhammad Iqmalfitri Abdul Manap dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 128 views