Larian Amal UMPSA 2025: Zombie Quest Challenge berjaya kumpul RM91,390 untuk Tabung Kebajikan Pelajar
PEKAN, 31 Mei 2025 – Larian Amal Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2025: Zombie Quest Challenge yang berlangsung di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar berjaya mengumpul sebanyak RM91,390 yang akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Kebajikan Pelajar bagi membantu pelajar dalam keperluan harian, sokongan akademik dan pembangunan sahsiah.
Lebih 500 peserta memeriahkan larian tersebut dalam suasana yang penuh semangat dan kepedulian.
Program itu merupakan anjuran bersama Yayasan UMPSA dan Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM) UMPSA dengan kerjasama pelbagai rakan strategik industri dan komuniti setempat.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohammad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Turut hadir Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Datin Nur Sharmila Shaheen dan barisan pengurusan UMPSA.
YB Dato’ Nizar dalam ucapannya menyifatkan penganjuran program ini sebagai satu bentuk solidariti yang perlu dipuji
“Program ini bukan sekadar acara larian, tetapi merupakan satu manifestasi semangat kebersamaan dan kepedulian terhadap pelajar yang memerlukan.
“Setiap langkah yang diambil hari ini membawa makna dan harapan buat mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Program yang bertemakan Zombie Quest Challenge itu tampil dengan pendekatan kreatif dan segar serta berjaya menarik minat golongan muda yang membuktikan bahawa elemen hiburan juga mampu menjadi wadah menyemai kesedaran sosial.
Dato’ Saiful Bahri turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, penganjur dan penyumbang yang menjayakan program ini.
Beliau menyatakan bahawa kejayaan kutipan ini mencerminkan nilai tanggungjawab sosial warga kampus yang tinggi, dan akan memberi impak langsung kepada pelajar yang benar-benar memerlukan sokongan.
UMPSA menyasarkan agar program berimpak tinggi seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pelajar pada masa akan datang.
Disediakan Oleh: Nor Azlina Binti Ahmad, Yayasan UMPSA
- 76 views