Skip to main content

SUMOROBOT TVET Challenge sempena Hari TVET Negara 2025 di UMPSA pupuk minat Robotik

GAMBANG, 18 Jun 2025 - Program SUMOROBOT TVET Challenge Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini yang menghimpunkan pelajar-pelajar daripada sekolah rendah dan menengah di seluruh Pahang dalam satu pertandingan teknologi yang penuh semangat dan inovatif. 

Program itu merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan sepanjang program Hari Terbuka UMPSA bersempena dengan  Hari TVET Negara 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 18 hingga 19h Jun 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Ganbang. 

Program anjuran Pusat TVET Termaju (PTVET) itu bertujuan untuk memupuk minat mendalam bidang Robotik serta memperkukuh kemahiran teknikal pelajar-pelajar selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Pertandingan ini menyaksikan penyertaan lebih daripada 41 buah sekolah dan 72 pasukan dari pelbagai sekolah di sekitar negeri Pahang. 

Para peserta bersaing dalam kategori robot kawalan jauh (1kg) yang menguji kecekapan rekaan, pengaturcaraan dan strategi teknikal pasukan masing-masing. 

Setiap pasukan dibahagikan mengikut kumpulan dan pemenang setiap kumpulan akan berentap di peringkat suku akhir sehingga ke akhir. 

Pertandingan itu telah dimenangi oleh pasukan Sergam 1 dari Sekolah Kebangsaan Gambang. 

Manakala tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh pasukan Teruntum Warriors (A) dan Teruntum Warriors (B). 

Kedua-duanya adalah dari Sekolah Kebangsaan Teruntum. 

Majlis penutupan program diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pengarah PTVET, Profesor Madya. Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani.

Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr, Ahmad Ziad turut menekankan mengenai kepentingan pendedahan awal terhadap teknologi automasi dan robotik dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar murid sekolah rendah dan juga menengah.

“Program seperti SUMOROBOT TVET Challenge ini adalah medan terbaik untuk mencungkil bakat dan memupuk daya saing pelajar dalam bidang yang sangat relevan dengan keperluan industri masa kini. 

“Penganjuran program ini turut memberikan nilai tambah kepada pihak sekolah di mana ia boleh dikira sebagai salah satu aktiviti di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

“Semoga program ini dapat dilaksanakan lagi di masa akan datang,” ujar beliau. 

Disediakan oleh: Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal, Pusat TVET Termaju
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim