UMPSA tonjol kepimpinan berteraskan kesejahteraan, 10 wakil sertai Konvensyen KARISMA IPT 2026
TANJUNG MALIM, 14 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menyumbang perspektif dalam pembangunan kepimpinan pendidikan tinggi apabila Naib Canselornya, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias tampil sebagai panel pengulas dalam Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.
Penyertaan beliau bersama sepuluh wakil UMPSA yang terdiri daripada pensyarah dan pentadbir muda mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan barisan pemimpin pelapis yang kompeten, berdaya tahan serta bersedia mendepani landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.
Konvensyen bertemakan ‘Memperkasakan Kepemimpinan Masa Hadapan’ itu menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam membangunkan kepimpinan yang progresif, di samping memperluas jaringan profesional antara institusi pendidikan tinggi (IPT).
Dalam Sesi 1 bertajuk ‘Kesejahteraan Hidup dan Kerjaya’, Profesor Ts. Dr. Yatimah bersama Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff membincangkan kepentingan keseimbangan antara tanggungjawab akademik dengan tugas pentadbiran, kesihatan mental serta integrasi kehidupan dan kerjaya (work-life integration) dalam kalangan warga universiti.
Perbincangan itu turut menekankan bahawa kesejahteraan warga universiti merupakan elemen penting dalam membentuk persekitaran kerja yang positif, produktif dan mampan, sekali gus menyokong kecemerlangan organisasi secara berterusan.
Profesor Ts. Dr. Yatimah turut berkongsi pelaksanaan gagasan K.I.T.A di UMPSA sebagai pendekatan universiti dalam menyemai nilai kebersamaan, membentuk budaya kerja positif dan memupuk kecemerlangan organisasi.

Perkongsian berkenaan memberikan perspektif mengenai kepentingan kepimpinan yang bukan sahaja berorientasikan pencapaian, malah mengambil kira kesejahteraan warga kerja sebagai asas kepada pembangunan organisasi yang mampan.
Sementara itu, penyertaan seramai sepuluh wakil UMPSA membuka peluang kepada pensyarah dan pentadbir muda untuk meningkatkan kompetensi kepimpinan, memperluas pengetahuan pengurusan serta bertukar pandangan dengan barisan kepimpinan dan peserta daripada pelbagai IPT.
Wakil berkenaan ialah Dr. Muhammad Abdul Adib Abd Aziz dan Dr. Mohammad Waffy Fazil dari Fakulti Pengurusan Industri; Dr. Amirul Aizad Ahmad Fuad dari Pusat Sains Matematik; Nur Atigah Mohd Nor dan Nur Azila Osman dari Pusat Sejahtera; serta Mohd Mukhris Awang dari Jabatan Pendaftar.
Turut menyertai konvensyen ialah Siti Nurfatin Abd Razak dari Unit Integriti dan Pematuhan; Nur Syahirah Sulaiman dari Pusat Akreditasi Akademik; Muhammad Nur Aqmal Nazri dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses; serta Muhammad Zufli Zuhari dari Pusat Perkhidmatan Akademik.
Menurut Muhammad Nur Aqmal Nazri, konvensyen berkenaan memberi pendedahan bermakna kepada pensyarah dan pentadbir muda mengenai peranan mereka sebagai pelapis kepimpinan universiti, khususnya dalam menghadapi perubahan dan cabaran pendidikan tinggi.

“Perkongsian mengenai kesejahteraan hidup dan kerjaya, pembangunan kompetensi serta cabaran masa depan pendidikan tinggi membantu peserta memahami keperluan kepimpinan yang lebih dinamik dan berdaya saing.
“Peluang berinteraksi dengan barisan kepimpinan tertinggi IPT serta peserta daripada pelbagai universiti turut memperluas perspektif dan membuka ruang perkongsian amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan dalam organisasi masing-masing.
“Saya berharap pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh dapat dikongsikan bersama warga UMPSA bagi menyokong pembangunan bakat serta menyediakan barisan pelapis kepimpinan universiti yang berkualiti,” ujarnya.
Selain sesi berkenaan, konvensyen turut menampilkan Sesi 2 bertajuk ‘Menggilap Karisma Kepimpinan’ yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan kompetensi kepimpinan generasi muda.
Sesi 3, ‘Cabaran Masa Depan Pendidikan Tinggi’ pula membincangkan isu kelestarian, kesihatan planet serta kepimpinan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam mendepani perubahan persekitaran pendidikan tinggi.
Majlis perasmian penutup konvensyen disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadirmyang turut menyaksikan penyerahan Resolusi Kepimpinan Muda IPT.

Resolusi itu menghimpunkan pandangan, aspirasi dan cadangan penambahbaikan daripada pensyarah serta pentadbir muda bagi menyokong pembangunan kepimpinan pendidikan tinggi negara.
Majlis turut diserikan dengan Sesi Amanat Menteri Pendidikan Tinggi yang mengetengahkan hala tuju pembangunan kepimpinan pendidikan tinggi, selain peluncuran buku ‘Kepimpinan Hadhari’ yang mengangkat pendekatan pembangunan kepimpinan berteraskan nilai Hadhari.
Penganjuran konvensyen ini selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dalam membangunkan bakat dan kepimpinan pendidikan tinggi yang progresif, inklusif serta berdaya saing.
Penglibatan UMPSA dalam konvensyen ini bukan sahaja menyediakan ruang perkongsian kepakaran di peringkat kepimpinan tertinggi, malah membuka peluang kepada pensyarah dan pentadbir muda untuk mengembangkan potensi sebagai pemimpin masa hadapan yang mampu menyumbang kepada kecemerlangan universiti dan pendidikan tinggi negara.
Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Perkhidmatan Akademik
Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
- 45 views