MINAT mendalam dan kecintaan kepada alam sekitar ternyata membawa tuah buat Norazlin Hassan, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga & Alam Sekitar) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), apabila dipilih menerima Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2017 yang telah berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.
Penghargaan khas diterima ini adalah hasil kegigihan dan kecemerlangannya menerusi penyelidikan bertajuk Hybrid Energy for Highway Lighting System, yakni bertujuan membangunkan sistem pencahayaan lampu di lebuh raya dengan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui sekali gus dapat memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya.