Alex rangkul Anugerah Olahragawan UMP
Kuantan, 25 Oktober – Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA), Alex Tiong Sie Hung yang cemerlang dalam sukan renang dengan meraih pingat emas bagi Kejohanan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan MASUM 2018 merangkul Anugerah Olahragawan dalam Majlis Penghargaan Sukan UMP yang berlangsung di Sri Manja Boutique, Indera Mahkota baru-baru ini.
Bagi Olahragawati pula dimenangi oleh Nurul Hani Shafiza Hassan dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI). Beliau merupakan atlit memanah banyak memenangi pingat di MASUM dan SUKIPT. Beliau juga pernah memenangi Anugerah Olahragawati Harapan pada tahun 2016. Kedua-dua pemenang membawa pulang trofi, sijil penghargaan dan wang tunai.
Manakala bagi Pemenang Anugerah Olahragawan Harapan dimenangi oleh Muhammad Hafizudin Mohd Nasri menerusi sukan Boling Padang manakala Anugerah Olahragawati Harapan pula telah dimenangi oleh Nur Nadhirah Ab Rasul yang merupakan atlit Petanque UMP.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof.Dato Dr Yuserrie Zainuddin. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi UMP, Abd Hamid Majid , Dekan Pembangunan Pelajar, Ts Dr. Mohamad Mat Nor dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebuhayaan UMP, Abd Rahman Hj Safie.
Dalam majlis ini, Prof.Dato Dr Yuserrie Zainuddin melahirkan ucapan tahniah kepada 35 atlit mahasiswa UMP yang telah mengharumkan nama universiti dan negara dalam bidang sukan.
Ujarnya, universiti sebenarnya memerlukan mahasiswa yang berwibawa untuk menghadapi cabaran ke peringkat tertinggi samada dalam bidang akademik, penyelidikan dan sukan.
Tambahnya lagi, pihak pengurusan universiti telah membuat pelbagai program bagi menghasilkan mahasiswa yang berwibawa dan berketerampilan.
“Saya yakin para atlit UMP mampu bangkit untuk berjaya di persada sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Menerusi bersukan juga atlit berpotensi untuk meningkatkan imej serta merangsang minda yang cergas justeru dapat meningkatkan kemahiran dalam membuat keputusan dengan baik,” katanya. Beliau mengharapkan penganugerahan ini dapat menjadikan sumber inspirasi dan memberikan kenangan manis kepada atlit UMP.
Bagi Alex yang membawa pulang insentif kecemerlangan sebanyak RM 12,800 itu berkata, beliau amat berterima kasih kepada UMP di atas insentif dan pengiktirafan ini. Kejayaan ini memberikannya inspirasi untuk terus mencipta kecemerlangan. Apatah lagi kini beliau sedang membuat persiapan mewakili negara dalam acara renang di Asean University Game (AUG) di Myanmar pada bulan Disember nanti.
Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 100 views