Skip to main content

Dari Teknologi ke Tradisi: Pembelajaran pelajar di taiwan buka mata untuk dunia yang lebih luas

TAIPEI, TAIWAN, 26 November 2024 – Seramai 17 pelajar dan staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini telah menyertai Program Kembara Mobiliti Antarabangsa di Taipei, Taiwan. 

Program selama enam hari itu memberi peluang kepada peserta untuk meneroka aspek pendidikan, budaya, dan kesukarelawan, sekali gus membentuk mereka menjadi individu berwawasan global.

Salah satu aktiviti utama adalah lawatan ke National Taiwan University (NTU) iaitu salah sebuah universiti yang terbaik di Taiwan. 

Peserta berpeluang berkongsi idea bersama pelajar NTU dan Kelab Lumba NTU, selain mempelajari inovasi teknologi seperti pembinaan kereta lumba yang memenangi pertandingan antarabangsa.

Malah, para pelajar juga berpeluang menjelajahi kampus NTU yang dibina sejak 1928, menyaksikan seni bina klasik dan mendalami sejarah institusi tersebut.

Menurut Khairul Amir Khairuddin, pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), beliau dan rakan-rakan terinspirasi dengan dedikasi dan kreativiti pelajar NTU. 

“Ia membuka minda kami tentang bagaimana teknologi boleh digunakan untuk mencipta penyelesaian yang praktikal dan berimpak besar serta memberi input bagi projek saya yang akan datang,” ujarnya. 

Menurut fasilitator aktiviti, Ein Noor Arisya Riza Shukri, dalam aspek kesukarelawan pula para peserta melaksanakan program pendidikan di Al-Hadi Taiwan Islamic Education and Culture Center (TIEC), mengajar kanak-kanak menggunakan platform digital seperti robot Arduino, Code Combat dan Scratch Jr untuk memupuk minat terhadap STEM.

“Melihat kegembiraan kanak-kanak ketika menggunakan robot Arduino secara tidak langsung memberikan kami kepuasan kerana dapat mencetuskan minat mereka dalam bidang STEM.

“Selain itu, kami turut menyumbangkan beg sekolah kepada kanak-kanak di Al-Hadi TIEC dan al-Quran wakaf terjemahan Mandarin di Masjid Grand Taipei, di samping membantu membersihkan kawasan masjid sebagai tanda keprihatinan sosial. 

“Aktiviti ini menanam nilai kesukarelawan dan tanggungjawab terhadap komuniti dalam kalangan peserta,” katanya. 

Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk menjelajahi lokasi ikonik seperti National Palace Museum, Chiang Kai-Shek Memorial Hall, dan Wulai Atayal Museum. 

Dari Teknologi ke Tradisi: Pembelajaran pelajar di taiwan buka mata untuk dunia yang lebih luas

Lawatan pendidikan ke National Palace Museum di Taipei yang menempatkan hampir 700,000 artifak dan karya seni memberikan peluang berharga kepada pelajar untuk mendalami warisan budaya China. 

Pelajar-pelajar UMPSA yang menyertai program mobiliti ke Taiwan berpeluang untuk mengunjungi pameran eksklusif Beauty Speaks for Itself di National Palace Museum, Taipei. 

Pameran ini yang berlangsung dari 26 September hingga 29 Disember 2024 menampilkan lebih 260 karya seni yang menghubungkan pelbagai budaya dan era, hasil kerjasama antara muzium ini, Musée des Arts Décoratifs, dan Van Cleef & Arpels. 

Dengan lima kategori tema utama seperti alam, pergerakan, dan warna, pameran ini memberi peluang kepada pelajar untuk menghargai kecantikan seni yang luar biasa dan memperluas wawasan mereka tentang warisan budaya global yang jarang dapat dijumpai di tempat lain. 

Pameran ini turut membuka mata betapa pentingnya seni dalam kehidupan dan bagaimana ia dapat bertahan sepanjang zaman. 

Keindahan seni ini bukan hanya untuk dinikmati, tetapi juga memberi pengajaran yang mendalam tentang sejarah dan budaya. 

Selain itu, para peserta program mobiliti ini turut melawat ke Chiang Kai-shek Memorial Hall yang memberikan peluang kepada pelajar untuk menyelami sejarah penting Taiwan, terutamanya perjuangan Presiden pertama Republik China, Chiang Kai-shek, dalam mempertahankan Taiwan daripada komunisme selepas Perang Saudara China. 

Memorial ini mencerminkan perpaduan dan identiti nasional Taiwan melalui reka bentuk seni bina yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.

Salah satu muzium lain yang dilawati oleh peserta program ini adalah Wulai Atayal Museum yang memberi pelajar peluang untuk menghargai dan memahami budaya serta warisan suku Atayal, salah satu etnik asli Taiwan. 

Museum ini mempamerkan artefak, pakaian tradisional, dan peralatan kehidupan seharian suku Atayal, yang memberi penghormatan kepada cara hidup mereka yang telah bertahan berabad-abad.

Jelas Nurin Izzatie Rahamdan, salah seorang peserta program mobiliti ini, semasa melawat Wulai Atayal Museum, beliau dapat measakan kedalaman sejarah dan budaya suku Atayal yang telah bertahan selama berabad-abad. 

“Saya amat terkesan dengan cara mereka hidup dan berhubung rapat dengan alam sekitar. 

“Melalui pameran yang dipamerkan, saya semakin sedar tentang betapa pentingnya pemeliharaan warisan budaya ini, supaya generasi akan datang dapat menghargai dan meneruskan tradisi yang berharga ini,” katanya.  

Pengalaman lawatan ke Taiwan memberi pelajaran bermakna kepada pelajar UMPSA dalam mengatasi cabaran yang mereka hadapi ketika mencari makanan halal dan tempat beribadah. 

Walaupun Taiwan mempunyai komuniti Muslim yang kecil, peserta lawatan ini menyedari betapa pentingnya untuk lebih menghargai kemudahan yang kita nikmati di Malaysia terutama kemudahan makanan halal dan tempat ibadah. 

Salah seorang pelajar, Muhammad Irfan Zakwan Azli berkata, walaupun agak sukar untuk mencari makanan halal di sana beliau sangat menghargai adanya restoran halal yang disediakan dengan penuh perhatian. 

“Pengalaman ini membuatkan saya lebih menghargai kemudahan yang ada di negara kita."

Sepanjang program lawatan pendidikan di Taiwan, pelajar memperoleh pembelajaran baharu yang sangat berharga terutamanya mengenai pentingnya memelihara warisan budaya dan menghargai identiti bangsa, seperti yang ditunjukkan di Chiang Kai-shek Memorial Hall dan Wulai Atayal Museum. 

Mereka juga diperkaya dengan kesedaran tentang nilai pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi inspirasi untuk terus mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.

Pelajar turut tertarik dengan kemajuan teknologi yang pesat di Taiwan, di mana mereka melihat bagaimana negara ini berjaya menggabungkan kemodenan dengan warisan budaya. 

Infrastruktur canggih seperti pengangkutan awam yang efisien dan inovasi dalam teknologi, seperti kecerdasan buatan dan teknologi hijau, menjadi satu sumber inspirasi untuk mereka menerapkan teknologi dalam kehidupan seharian dan pekerjaan di masa hadapan.

Manakala menurut Ilyas Hakim Amir pula, kecekapan pengangkutan awam dan inovasi dalam bidang teknologi membuatkan saya berfikir tentang bagaimana kita boleh membawa perubahan yang sama di negara kita. 

“Teknologi bukan sahaja tentang kemajuan ekonomi tetapi juga tentang mencipta masyarakat yang lebih baik. 

“Kesedaran ini ternyata turut menggalakkan saya untuk memperbaiki persekitaran di tanah air dan menjadi lebih peka terhadap kemudahan awam,” katanya. 

Program ini telah berjaya membentuk pelajar UMPSA menjadi individu yang lebih berpengetahuan, lebih menghargai kemudahan yang ada, dan lebih komited untuk membawa perubahan positif di Malaysia dan dalam masyarakat global.

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri