Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama dengan D-8 International University, Iran tingkat kerjasama antarabangsa

IRAN,  9 Oktober 2023 - Lawatan kerja rasmi delegasi pendidikan tinggi bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin ke Republik Islam Iran baru-baru ini menyaksikan berlangsungnya acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMPSA dan D-8 International University. 

Dalam program itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie hadir mewakili UMPSA bersama Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari. 

Manakala D-8 International University diwakili oleh Canselornya, Profesor Dr. Abbas Afkhami dan Penasihat D-8IU, Dr. Mazaher Ahmadi. 

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled  Nordin dan TYT Duta Isiaka Abdulqadir Imam (Nigeria) yang juga merupakan Setiausaha Agong D-8 Organization for Economic Cooperation (D-8). 

UMPSA jalin kerjasama dengan D-8 International University, Iran tingkat kerjasama antarabangsa

Menurut Profesor Dato’ Dr. Yuserrie, melalui MoU ini, UMPSA akan bekerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, pentadbiran, sabatikal dan penasihat industri. 

“Selain itu ia turut melibatkan program khas jangka pendek bagi pengajian peringkat sarjana muda, ijazah dual bagi peringkat sarjana muda dan juga sarjana,” katanya. 

Dalam pada itu, pada tahun 1997, lapan negara Islam membangun termasuk Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan, dan Turkiye telah menubuhkan D-8 Organization for Economic Cooperation yang juga dikenali sebagai singkatan D-8 . 

Ia telah ditubuhkan dengan matlamat untuk mempromosikan status negara anggota dalam ekonomi dunia, meningkatkan hubungan komersial, mempromosikan peranan mereka dalam membuat keputusan di peringkat antarabangsa dan meningkatkan taraf hidup. 

Universiti Antarabangsa D-8 (D8IU) telah ditubuhkan untuk menjana, mempromosi dan membangunkan kerjasama antara negara anggota melalui interaksi dalam kalangan universiti dan pelajar serta berusaha untuk menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memastikan ekuiti dan peluang pendidikan untuk semua pelajar yang inklusif dan saksama. 

Disediakan oleh: Mohd. Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Ferdaus