KUALA LUMPUR: Empat institusi pendidikan tinggi (IPT) menerima surat kelulusan sementara sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi kursus Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC), dalam usaha memperluas akses serta fleksibiliti pendidikan tinggi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pengiktirafan itu adalah strategi penting memperkasa pelaksanaan kursus micro-credentials yang selari dengan piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Beliau berkata, QVC bertanggungjawab menilai kursus SAMC yang ditawarkan institusi dan penyedia tertentu dengan menyelaraskan elemen kualiti pelaksanaan serta penilaian pembelajaran seperti dianjurkan MQF.
ADVERTISEMENT
Cars stock video 1 5Feb25Cars stock video 1 5Feb25
"QVC turut memudah cara pendaftaran kursus yang disahkan ke dalam Daftar Micro-credential MQA, sekali gus membuka laluan kepada pengiktirafan lebih meluas serta mobiliti pembelajaran yang fleksibel.
Disyorkan
Eloklah keluar, kalau tidak ada kesetiaan di dalam parti - Zahid
Perubahan dasar AS, peluang terokai pendidikan negara lain - TPM
Malaysia-Jepun meterai MoU sektor pertanian babit pelaburan lebih RM25 juta
Ahmad's Fried Chicken sasar 66 cawangan baharu tahun ini
"Kini, micro-credential dilihat sebagai alternatif baharu kepada laluan pendidikan konvensional," katanya pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan QVC di Mercu MQA, di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof Ts Dr M Iqbal Saripan.
Antara empat IPT yang diiktiraf sebagai QVC ialah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti MAHSA, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) diwakili Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, Naib Canselor MAHSA, Prof Emeritus Datuk Dr Ikram Shah Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof Ts Dr Norazah Abd Rahman, serta Pengarah Pusat Swaakreditasi USM, Prof Azira A Rashid.
Shatar Sabran berkata, pelaksanaan QVC amat relevan dengan keperluan semasa apabila ramai lepasan sekolah memilih untuk bekerja terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian secara formal.
Beliau berkata, micro-credentials menjadi pintu masuk semula ke universiti pada masa hadapan, terutama bagi mereka yang tidak dapat mengikuti pendidikan secara konvensional.
"QVC akan bertindak sebagai rakan kolaborasi strategik kepada MQA dalam menilai dan mengiktiraf kursus ditawarkan institusi, agensi atau industri, termasuk menyusun semula kredit menerusi sistem bank kredit sedia ada," katanya.
Sementara itu, Shatar Sabran berkata keempat-empat IPT berkenaan diberikan kelulusan sementara dan perlu menjalankan sekurang-kurangnya 25 penilaian kursus SAMC dalam tempoh enam bulan sebelum layak memohon kelulusan penuh sebagai QVC.
"Tanggungjawab QVC tidak boleh bersifat simbolik, sebaliknya menjadi ejen jaminan kualiti yang progresif, cekap dan diyakini masyarakat serta industri," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak berasa terhalang untuk menyambung pengajian meskipun bermula dari mana-mana tahap.
"Jika bukan secara konvensional, micro-credentials adalah ruang dan peluang baharu untuk anda meneruskan pengajian ke peringkat universiti.
"Langkah ini dijangka memperkukuh ekosistem pembelajaran sepanjang hayat serta menyokong transformasi pendidikan tinggi negara ke arah lebih inklusif, terbuka dan sejajar perkembangan global," katanya.