UMPSA perkukuh pasukan Ping Pong hadapi SUKUM 2026
GAMBANG, 16 Mei 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya sukan dalam kalangan warga universiti menerusi sesi pemilihan pemain ping pong bagi menghadapi Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke-46 Tahun 2026 yang bakal berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu bermula 5 hingga 15 Ogos 2026.
Sesi pemilihan yang dianjurkan oleh Sekretariat Sukan UMPSA dengan kerjasama pengurusan pasukan ping pong itu telah berlangsung di CARiFF dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada staf UMPSA.
Pemilihan tersebut diadakan bagi mengenal pasti bakat baharu dan memperkukuh barisan pemain sedia ada dalam usaha membawa cabaran UMPSA ke pentas sukan antara universiti awam (UA) peringkat kebangsaan.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Perseorangan Lelaki, Perseorangan Lelaki Veteran, Berpasangan Lelaki, Perseorangan Wanita, Perseorangan Wanita Veteran dan Berpasangan Wanita.
Bagi setiap kategori, pasukan dibenarkan menghantar dua penyertaan.
Secara keseluruhannya, seramai lapan pemain lelaki dan lapan pemain wanita telah dipilih bagi membentuk pasukan rasmi ping pong UMPSA ke SUKUM 2026.
Antara staf yang terpilih mewakili UMPSA ialah Profesor Dato’ Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli (Fakulti Komputeran), Dr. Abdul Kamil Jamaludin (Pusat Sains Kemanusiaan), Dr. Ahmad Syakirin Ismail@Rosdi (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekanikal (FTKPM), Ts. Dr. Ahmad Rizal Alias (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam), Mohd Fairuz Ramli (Pusat Pengurusan dan Analitik Data), Mohammad Baihaqi Hasni (Pusat Bahasa Moden) dan Dr. Mohd Redzuan Ahmad (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik).
Lain-lain yang terpilih ialah Dr. Zainah Md. Zain (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik), Dr. Shoriya Aruni Abdul Manaf (Fakulti Sains dan Teknologi Industri), Ts. Dr. Suriyati Saleh (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses), Dr. Siti Asma’ Yaacob (Pusat Bahasa Moden), Ismalina Mohd Isah (Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Nor Sabrina Ismail (Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Dr. Rosmawati Naim (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses) serta Nuur Athirah Abu Hashim (Jabatan Pendaftar).
Pengurus Pasukan Ping Pong UMPSA, Ts. Mohd Anuar Haji Ramli daripada Akademi TVET Termaju (ATVET) berkata, sesi pemilihan itu menjadi platform penting dalam usaha melahirkan pasukan yang mantap serta berdaya saing untuk menghadapi cabaran di peringkat kebangsaan.
Menurut beliau, pembangunan sukan dalam kalangan staf universiti bukan sahaja mampu melahirkan atlet yang kompetitif, malah dapat memperkukuh semangat kerja berpasukan, disiplin dan hubungan silaturahim antara warga universiti.
“Pasukan ping pong UMPSA sentiasa membuka ruang kepada staf yang mempunyai minat dan bakat dalam sukan ini untuk bersama-sama mengharumkan nama universiti.
“Kita mahu membentuk pasukan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut teknikal permainan, malah mempunyai semangat juang dan kesatuan pasukan yang tinggi.
“Staf yang pernah mewakili jabatan, daerah, negeri mahupun negara turut memberikan nilai tambah kepada kekuatan pasukan menerusi pengalaman dan kemahiran yang dimiliki,” ujarnya.
Beliau turut memainkan peranan besar dalam menyusun gerak kerja pasukan termasuk aspek pemilihan pemain, penyelarasan latihan dan perancangan strategi pertandingan bagi memastikan kontinjen ping pong UMPSA berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan.
Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) merupakan temasya sukan utama yang menghimpunkan kontinjen staf daripada pelbagai Universiti Awam (UA) seluruh negara melalui pelbagai acara sukan dan rekreasi.
Penganjuran SUKUM bukan sahaja menjadi platform pembangunan bakat sukan dalam kalangan staf universiti, malah menjadi medan mengukuhkan hubungan strategik, semangat kesukanan dan kebersamaan antara UA di Malaysia.
UMPSA optimis pasukan ping pong universiti mampu memberikan saingan sengit dalam edisi SUKUM kali ini menerusi gabungan pemain berpengalaman dan bakat baharu yang berjaya dikenal pasti sepanjang sesi pemilihan berlangsung.
Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 101 views
Reports by: