Presma Band UMPSA cipta kejayaan, muncul johan Battle of The Bands SRM IPT Pahang 2026
KUANTAN, 18 November 2026 – Kumpulan muzik Presma Band daripada Kelab Sigma Melody, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Battle of the Bands bersempena dengan Karnival Gaya Hidup Rakan Muda Institut Pengajian Tinggi (SRM IPT) Peringkat Negeri Pahang 2026.
Pertandingan anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu berlangsung di Pahang Skills Development Centre (PSDC) dengan menghimpunkan penyertaan kumpulan muzik daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri Pahang.
Dalam pertandingan tersebut, Presma Band mempamerkan persembahan bertenaga dan penuh penghayatan menerusi dua buah lagu pilihan, iaitu ‘Nakal’ nyanyian asal Gigi Band dan ‘Mentera Semerah Padi’ nyanyian asal M. Nasir.
Persembahan mantap yang ditampilkan berjaya memikat perhatian sekali gus membawa kumpulan berkenaan meraih gelaran johan.
Menurut pelajar Tahun 4, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), yang juga merupakan Presiden Kelab Sigma Melody UMPSA, Adib Amirin Azman yang turut memainkan peranan sebagai pemain gitar dalam kumpulan Presma Band menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil komitmen dan semangat berpasukan seluruh anggota kumpulan dalam mengharumkan nama universiti melalui bidang seni muzik.
“Kami amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan meraih gelaran johan dalam pertandingan Battle of the Bands ini.
“Kemenangan ini merupakan hasil usaha, komitmen dan keserasian seluruh anggota Presma Band yang sentiasa memberikan kerjasama sepanjang proses latihan dan persediaan pertandingan,” ujarnya.
Di samping itu, penglibatan Penolong Pegawai Kebudayaan, Muhammad Zulfikri Muhammad Zaini yang membantu menguruskan kumpulan menyatakan bahawa kejayaan ini terhasil daripada usaha yang konsisten mahasiswa dalam menjayakan persembahan menarik dan memuaskan.
“Kejayaan meraih gelaran Johan ini merupakan hasil komitmen, kesungguhan dan kerjasama erat semua anggota Presma Band.
“Persiapan yang dilakukan bukan sekadar untuk mencapai kemenangan, tetapi juga sebagai ruang untuk mengetengahkan bakat serta membina keyakinan diri mahasiswa dalam bidang muzik.” katanya.
Pencapaian Presma Band berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500.00 sebagai hadiah utama pertandingan tersebut.
Kejayaan ini diharapkan dapat menyuntik semangat kepada lebih ramai mahasiswa untuk terus mengembangkan bakat dan mengetengahkan kreativiti melalui platform seni serta kebudayaan.
Oleh: ADIBAH SHAHAROM, PUSAT KEBUDAYAAN
- 7 views