Skip to main content

Bidang Automotif dan Kejuruteraan Mekatronik UMPSA diiktiraf 6 bintang pilihan utama majikan

KUALA LUMPUR, 11 April 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mendapat pengiktirafan enam bintang dalam senarai Universiti Pilihan Majikan Talentbank 2026 oleh Talentbank Graduate Employability (GE) Index yang berlangsung baru-baru ini.

Bidang Automotif dan Kejuruteraan Mekatronik UMPSA diiktiraf 6 bintang pilihan utama pilihan majikan mencerminkan tahap keyakinan industri terhadap kualiti graduan UMPSA.

Menurut Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan universiti dalam memenuhi keperluan industri dan hasil jalinan kerjasana universiti dan industri.

Bidang Automotif dan Kejuruteraan Mekatronik UMPSA diiktiraf 6 bintang pilihan utama majikan

“Pengiktirafan ini sekali gus memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai universiti pilihan utama pelajar tempatan dan antarabangsa dalam aspek pendidikan berkualiti, relevan dan berimpak tinggi,” katanya.

“Kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan universiti dalam memperluas jaringan kolaborasi global serta meningkatkan impak penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

“Universiti menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju di negara ini,” katanya.

Secara khususnya, bidang Automotif dan Kejuruteraan Mekatronik telah dianugerahkan Talentbank 6-Star Employer Choice, meletakkan program tersebut antara yang terbaik dalam kategorinya berdasarkan penilaian industri.

UMPSA mengamalkan pendekatan pembelajaran berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan keseimbangan antara teori dan amali melalui pelaksanaan Latihan Industri (LI) serta pembelajaran berasaskan kerja (WBL).
 
Ujar beliau lagi, pendekatan ini memastikan pelajar memperoleh pengalaman sebenar industri dan membangunkan kemahiran teknikal serta insaniah sebelum bergraduasi.

Hadir menerima anugerah ialah Penolong Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud.

Turut hadir Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Ir. Dr. Razlan Yusoff; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Norhaida Abdul Razak; serta wakil Pusat Kerjaya UMPSA, Aminatul Nor Mohamed Said.

Pengiktirafan ini turut mencerminkan tahap kepercayaan majikan terhadap graduan UMPSA, khususnya dari segi tahap kesiapsiagaan bekerja, kompetensi profesional, prestasi di tempat kerja serta kecenderungan majikan untuk mengambil semula graduan berdasarkan pengalaman positif terdahulu.

Memperkukuh pencapaian ini, dapatan daripada Talentbank Graduate Employability (GE) Index menunjukkan beberapa program UMPSA menerima pengiktirafan tinggi daripada lebih 1,200 majikan di peringkat nasional.

Indeks GE Talentbank merupakan penanda aras kebangsaan yang menilai sejauh mana universiti berjaya melahirkan graduan yang diyakini oleh industri.

Penilaian ini mengambil kira pilihan majikan terhadap institusi, kadar pengambilan graduan serta kecenderungan pengambilan semula berdasarkan prestasi. 
 
Indeks ini turut mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus mengukuhkan kredibilitinya sebagai indikator utama kebolehpasaran graduan di Malaysia.

UMPSA akan terus memperkukuh ekosistem akademik, memperluas jaringan industri dan memperkasa pembangunan pelajar bagi memastikan graduan kekal relevan, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan UMPSA sebagai institusi yang komited dalam melahirkan graduan berdaya saing serta menyokong pembangunan ekonomi dan teknologi negara.

Majlis ini merupakan platform jaringan strategik yang menghimpunkan pemain industri dan pemegang taruh bakat daripada organisasi global seperti Tesla serta syarikat-syarikat utama dalam sektor tenaga, pembuatan, automotif dan teknologi termasuk PETRONAS, Intel, Toyota, Shell dan Telekom Malaysia. 

Interaksi ini memperkukuh kolaborasi antara universiti dan industri dalam membentuk bakat masa hadapan yang lebih berdaya saing.

Disediakan Oleh: Aminatul Nor Mohamed Said, Pusat Kerjaya UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri