Creative Chemistry with Canva: Pelajar SMK Bukit Goh teroka ilmu Kimia secara interaktif
KUANTAN, 12 Jun 2025 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Creative Chemistry with Canva di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goh, Kuantan yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5.
Program itu diketuai oleh Pensyarah FTKKP, Dr. Nur Aminatulmimi Ismail bersama tujuh orang ahli geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti (kod geran CDU240106).
Menurut Dr. Nur Aminatulmimi, matlamat utama program adalah untuk memperkenalkan kaedah pembelajaran kimia yang lebih interaktif dan kreatif dengan menggunakan platform Canva sebagai alat bantu digital.
“Penceramah utama yang juga merupakan Pensyarah FTKKP, Ts. Junaidi Zakaria telah berkongsi kepakaran dalam penggunaan Canva, termasuklah fungsi-fungsi penting dan teknik menghasilkan reka bentuk pembelajaran yang menarik.
“Fokus pengisian program adalah kepada topik ’ikatan kimia’.
“Para pelajar didedahkan dengan kaedah menghasilkan peta minda interaktif yang dapat membantu dalam ulang kaji secara visual dan lebih mudah difahami,” ujarnya.
Tambah belau lagi, sebagai salah satu pencapaian penting program, satu modul bercetak bertajuk ‘Mudahnya Canva: Aplikasi Reka Bentuk Digital dalam Subjek Sains’ telah berjaya dibangunkan dan diedarkan kepada peserta.
“Modul ini diharap dapat terus dimanfaatkan oleh para pelajar dan guru sebagai bahan bantu mengajar,” katanya.
Manakala menurut Pengetua SMK Bukit Goh, Azila Junid, program seperti ini sangat berimpak tinggi dan harus diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkasa pembelajaran STEM dalam kalangan pelajar luar bandar.
“Salah seorang pelajar turut meluahkan keterujaan dengan menyatakan bahawa beliau kini lebih bermotivasi untuk menggunakan Canva sebagai alat bantu pembelajaran harian,” katanya.
Program ini menjadi bukti bahawa kolaborasi di antara institusi pengajian tinggi dengan sekolah mampu membuka ruang inovasi dalam pendidikan serta menyemai minat pelajar terhadap Sains secara lebih kreatif dan menyeronokkan.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 85 views