Empat Subjek UMPSA Tersenarai dalam THE World University Rankings by Subject 2026
PEKAN, 21 Januari 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila empat subjek pengajian berjaya tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2026, seperti yang diumumkan oleh Times Higher Education hari ini.
Pencapaian ini mencerminkan keupayaan UMPSA dalam memperkukuh kualiti akademik, penyelidikan berimpak tinggi serta hubungan industri sejajar dengan peranan universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi berteraskan teknologi dan kejuruteraan.
Empat subjek UMPSA yang tersenarai dalam penarafan global tersebut ialah subjek Business and Economics di kedudukan 301–400, subjek Physical Sciences di kedudukan 501–600, subjek Computer Science di kedudukan 601–800 dan subjek Engineering di kedudukan 601–800.
Kejayaan bagi subjek Business and Economics diterajui oleh Fakulti Pengurusan Industri (FPI), manakala subjek Computer Science pula oleh Fakulti Komputeran.
Bagi subjek Engineering, pencapaian ini melibatkan kesemua Fakulti Teknologi Kejuruteraan di UMPSA, sementara subjek Physical Sciences oleh Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) bersama Pusat Sains Matematik (PSM).
Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata pencapaian ini membuktikan usaha berterusan warga universiti dalam memperkukuh ekosistem akademik dan penyelidikan yang berdaya saing di peringkat global.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memastikan kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama strategik antara fakulti, penyelidik, industri serta sokongan padu seluruh warga universiti,” katanya.
Menurutnya, penarafan THE yang mengambil kira indikator seperti pengajaran, penyelidikan, petikan (impak penyelidikan), pandangan industri dan perspektif antarabangsa menjadi penanda aras penting dalam menilai prestasi universiti pada peringkat global.
“UMPSA akan terus memperkukuh kekuatan dalam bidang teras seperti kejuruteraan, sains gunaan, teknologi digital serta pengurusan industri bagi melahirkan graduan kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan,” tambahnya.
Pihak universiti merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua fakulti, pusat tanggungjawab serta seluruh warga UMPSA atas pencapaian yang membanggakan ini sekali gus memperkukuh reputasi UMPSA sebagai universiti teknikal terkemuka di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 52 views