Skip to main content

Hari Jepun UMPSA memperkukuh kerjasama dalam memperkasakan TVET Termaju

PEKAN, 7 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penganjuran Japan Day: Empowering Advanced TVET Education in Collaboration with the Embassy of Japan in Malaysia bersempena dengan sambutan Hari TVET Negara 2026 peringkat universiti.

Program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia itu berjaya menghimpunkan pelajar universiti, warga sekolah, wakil industri serta komuniti setempat dalam meraikan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun melalui pendidikan, budaya, teknologi dan pembangunan modal insan.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasakan pendidikan TVET termaju bertaraf global melalui kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa.

“Hubungan erat yang terjalin antara UMPSA dan Kedutaan Jepun di Malaysia merupakan satu bentuk kizuna atau ikatan persahabatan yang menjadi asas kepada pembangunan kerjasama dalam bidang pendidikan, teknologi, inovasi dan pembangunan bakat.

“Jepun merupakan sebuah negara yang berjaya menggabungkan kemajuan teknologi, kecemerlangan industri dan pembangunan modal insan secara seimbang. 

“Nilai-nilai seperti disiplin, ketepatan, daya tahan dan inovasi yang diamalkan masyarakat Jepun amat bertepatan dengan aspirasi UMPSA untuk menjadi Hab TVET Termaju Asia Pasifik menjelang tahun 2030,” ujarnya. 

Hari Jepun UMPSA memperkukuh kerjasama dalam memperkasakan TVET Termaju

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis yang turut dihadiri Kaunselor dan Pengarah Perkhidmatan Maklumat Kedutaan Jepun di Malaysia, Kitaoka Tatsuya. 

Hadir sama Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad.

Profesor Ts. Dr. Yatimah turut berkongsi pengalaman lawatannya ke Jepun bersempena dengan Expo 2025 Osaka, Kansai yang memberi inspirasi terhadap budaya kerja dan falsafah masyarakat Jepun seperti omotenashi yang menekankan layanan penuh keikhlasan serta monozukuri yang menitikberatkan kemahiran, ketelitian dan kebanggaan dalam menghasilkan sesuatu produk atau inovasi.

Menurut beliau, falsafah tersebut amat relevan dengan pembangunan TVET Termaju yang memerlukan gabungan kemahiran teknikal, kreativiti, inovasi dan kecemerlangan profesional.

“Dalam memperkukuh agenda TVET Termaju, UMPSA komited untuk memperluaskan kerjasama dengan institusi pendidikan, pusat penyelidikan, syarikat dan pemimpin industri Jepun yang mempunyai kepakaran bertaraf dunia dalam bidang Automotif, Aeroangkasa, Semikonduktor, Teknologi Hijau, Tenaga Boleh Baharu dan Industri Berasaskan Unsur Nadir Bumi (Rare Earth).

“UMPSA melihat potensi besar untuk memanfaatkan kepakaran saintis, penyelidik dan peneraju industri Jepun dalam memperkukuh penyelidikan bersama, pembangunan teknologi serta inovasi berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Kerjasama ini bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik dan penyelidikan, malah merangkumi pembangunan bakat, mobiliti pelajar, latihan industri, program pensijilan profesional serta pendedahan kepada teknologi dan amalan industri bertaraf global,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan tersebut mampu memperkukuh rantaian nilai penyelidikan dan inovasi bermula daripada penyelidikan huluan (upstream research), pembangunan teknologi, validasi industri sehingga kepada pengkomersialan dan pemindahan teknologi.

Beliau turut menekankan konsep kaizen atau penambahbaikan berterusan yang menjadi antara faktor kejayaan Jepun dan wajar diterapkan dalam kalangan pelajar sebagai budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Ujarnya, melalui hubungan erat dengan Jepun, kita berharap dapat melahirkan lebih ramai jurutera, teknologis dan penyelidik yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri berteknologi tinggi serta menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi dan TVET yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program termasuk pameran budaya Jepun, sesi perkongsian pendidikan dan kerjaya, pendedahan peluang melanjutkan pengajian di Jepun, interaksi bersama wakil industri Jepun serta perkongsian berkaitan teknologi dan inovasi masa hadapan. 

Turut berlangsung Pertandingan Origami, pameran dan lawatan ke fakulti.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali budaya dan sistem pendidikan Jepun dengan lebih dekat, malah membuka ruang kepada penerokaan peluang kerjasama baharu dalam bidang TVET, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan.

Forum menyaksikan penglibatan wakil industri yang terdiri daripada Managing Director, ALPS Electric, Wataru Tezuka, Chief Representative of JICA Malaysia, Daisuke Ueda,  dan Sr General Manager, Advanced Devices Division DENSO, Kiyonaga Fujii.

Turut serta Production Technology Advisor KANEKA, Tomoyuki Ishida dan Ketua Pegawai Operasi Isuzu Hicom, Kazutaka Watanabe.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri