Skip to main content

Kolaborasi SULAM UMPSA tingkat kecekapan pengurusan data sekolah

KUANTAN, 1 Januari 2026 - Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui inisiatif pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) telah berjaya menganjurkan program intensif bertajuk ‘Simplify, Streamline, Succeed: Data Management for Teachers Made Easy’ baru-baru ini. 

Program itu disertai oleh 13 orang guru dari Sekolah Kebangsaan RTP Bukit Goh, Kuantan, Pahang. 

Program yang  bertujuan untuk memperkasa komuniti guru dengan kemahiran pengurusan data yang cekap menggunakan Microsoft Excel itu dianjurkan di bawah subjek BPN2112 Supply Chain Management yang dikendalikan oleh Dr. Nor Rokiah Hanum Md Haron dan Ts. Dr. Hamirahanim Abdul Rahman sebagai jurulatih utama bersama-sama dengan wakil pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian sebagai fasilitator. 

Selaras dengan aspirasi SULAM, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam situasi sebenar, malah berfungsi sebagai platform advokasi pemindahan ilmu apabila kepakaran universiti dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti guru dalam meningkatkan kecekapan pengurusan data sekolah. 

Fokus utama program adalah memperkasa guru dengan kemahiran pengurusan data menggunakan Microsoft Excel secara mudah, sistematik dan berkesan.

Sepanjang program, para peserta telah didedahkan mengenai teknik-teknik penting untuk mempermudah (simplify) dan menyusun atur (streamline) data, sekali gus membolehkan mereka berjaya (succeed) dalam menguruskan data. 

Para peserta memulakan sesi dengan pembelajaran asas Excel, meliputi fungsi penting seperti SUM, AVERAGE, dan fungsi bersyarat (IFS). 

Para peserta turut diajar teknik-teknik visualisasi data menggunakan PIVOT TABLE dan alat Slicer bagi tujuan mengolah data menjadi Dashboard yang ringkas, kemas, dan mudah difahami, sekali gus mengubah data mentah menjadi maklumat yang boleh diambil tindakan.

Kemuncak program ini adalah sesi pembinaan Dashboard menggunakan excel. 

Dashboard ini membolehkan para guru mengubah data seperti markah ujian dan analisis prestasi pelajar menjadi papan visual yang ringkas, kemas dan mudah difahami.

Berdasarkan maklum balas peserta bagi menilai tahap keberkesanan Program SULAM dalam membantu pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran kursus Supply Chain Management dalam situasi sebenar, program ini didapati berkesan apabila pelajar dapat mengaplikasikan konsep pengurusan rantaian bekalan melalui aktiviti pengurusan data dan penyelesaian masalah berasaskan konteks komuniti sekolah. 

Manakala maklum balas yang menilai tahap manfaat program kepada komuniti sekolah menunjukkan bahawa program ini memberi impak positif kepada guru dan pihak sekolah melalui peningkatan kefahaman serta amalan pengurusan data yang lebih sistematik, mudah diaplikasikan serta menyokong kecekapan pengurusan operasi sekolah.

Kejayaan program SULAM ini merupakan manifestasi komitmen berterusan UMPSA dalam menyalurkan kepakaran akademik untuk manfaat masyarakat komuniti, sekali gus menyokong agenda pemerkasaan pendidikan dan pembelajaran berimpak sosial. 

Program ini diharap dapat membantu meringankan beban pengurusan data guru dan memberi ruang kepada penumpuan yang lebih berkualiti terhadap proses pengajaran serta pembelajaran yang lebih berkualiti demi pembangunan masa depan pelajar.

Disediakan Oleh: Dr. Nor Rokiah Hanum Md Haron dan Ahmad Fauzan Ahmad Faizul, Fakulti Pengurusan Industri.
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri