Kolaborasi UAD–UII–FTKKP UMPSA jayakan CSR di SMART Kuantan
KUANTAN, 17 Jun 2025 - Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan telah menjadi lokasi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran bersama delegasi Universitas Ahmad Dahlan (UAD) dan Universitas Islam Indonesia (UII), dengan kerjasama strategik daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang bertindak sebagai jambatan penghubung antara institusi pendidikan tinggi dari Indonesia dan sekolah angkat UMPSA.
Menurut Pensyarah FTKKP, Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, program itu melibatkan seramai 60 pelajar Tingkatan 4 SMART Kuantan dalam pelbagai aktiviti interaktif berasaskan kemahiran dan inovasi.
“Delegasi UAD yang terdiri daripada 12 pelajar dan dua orang pensyarah itu telah berkongsi mengenai teknik penghasilan lilin aromaterapi yang menggunakan minyak masak terpakai, sebagai usaha memupuk kesedaran tentang amalan kitar semula dan kelestarian.
“Sementara itu, delegasi UII yang diketuai oleh 13 pensyarah dan 14 pelajar telah memperkenalkan teknik eco-printing menggunakan daun tumbuhan semula jadi untuk mencetak corak atas beg, selain demonstrasi penyediaan minuman tradisional Indonesia iaitu wedang jahe atau teh halia.
“FTKKP UMPSA, yang diwakili oleh sepuluh orang pensyarah dan enam orang orang pelajar dari Kelab CHEST, memainkan peranan utama dalam menyelaras program ini, sekali gus memperkukuh jalinan hubungan serantau dalam bidang pendidikan dan komuniti,” ujarnya.
Manakala menurut Pengetua SMART Kuantan, Juwita Jamaludin, pihak sekolah amat berbangga kerana terpilih menjadi lokasi program dan berharap dapat membuat lawatan balas ke Indonesia bersama para pelajar SMART sebagai langkah memperluas pendedahan antarabangsa.
Delegasi Indonesia berada di Malaysia selama tiga hari dua malam iaitu bermula 16 hingga 18 Jun 2025 dengan pengisian padat termasuk lawatan akademik dan budaya.
Mereka turut diraikan dalam satu majlis makan malam rasmi di Dewan Bankuet UMPSA Kampus Gambang.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Dekan FTKKP, Profesor Ts. Dr. Sumaiya Zainal Abidin@Murad.
Delegasi juga berpeluang melawat ke UMPSA Pekan dan disambut oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Ts. Dr. Mohd Adnin Hamidi dan pelajar dari kelab Mechapro.
Lawatan ke MakersLab dan makmal EV Lab membuka peluang untuk mereka mengenali lebih dekat teknologi percetakan 3D serta pembangunan kenderaan elektrik yang sedang giat diteroka oleh UMPSA.
Pada hari terakhir lawatan, delegasi telah dibawa melawat ke beberapa fasiliti utama di UMPSA Kampus Gambang, termasuk makmal FTKKP serta Pusat Penyelidikan Bendalir dan Proses Termaju (CARIFF), yang memperlihatkan kepakaran UMPSA dalam bidang penyelidikan kimia dan kejuruteraan proses.
Mereka turut dibawa ke kompleks sukan universiti bagi meninjau pameran CITREX 2025 sempena Hari Terbuka UMPSA dan juga Hari TVET Negara, sekali gus memperlihatkan komitmen UMPSA dalam memacu inovasi dan pendidikan berteraskan kemahiran.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 56 views