Penaiktarafan Pusat Bahasa Moden kepada Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan memacu transformasi akademik melalui sinergi warga fakulti, industri
KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2026 – Susulan penaiktarafan Pusat Bahasa Moden (PBM) kepada Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan yang diumumkan secara rasmi oleh pengurusan universiti pada 15 Oktober 2026, fakulti terus memperkukuh hala tuju dan kecemerlangan akademiknya menerusi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Pengajian (SC) dan Panel Penasihat Industri (IAP) Bil. 1/2026 pada 17 hingga 18 Oktober 2026 di UMPSA Kuala Lumpur.
Mesyuarat ini menjadi platform strategik untuk menilai dan memantapkan penawaran akademik fakulti, merancang pembangunan program baharu serta memperkukuh kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan program yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran kerja.
Mesyuarat kali ini memberikan penekanan kepada pembangunan dan pemantapan program pascasiswazah, khususnya dari aspek semakan struktur program dan kursus, kerelevanan kurikulum, penerapan teknologi serta kecerdasan buatan (AI), dan peluang kerjasama strategik dengan industri.
Pada masa yang sama, pemantapan penawaran kursus bahasa untuk prasiswazah turut diberi perhatian bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran sentiasa dipertingkatkan serta memenuhi keperluan pelajar dan perkembangan semasa.
Selain pemantapan kurikulum, aspek kebolehpasaran dan kelestarian program serta peluang kerjasama strategik dengan industri turut diberi perhatian.
Usaha ini penting bagi memastikan penawaran akademik fakulti kekal berdaya saing, memenuhi keperluan industri dan menyediakan laluan pembangunan kompetensi profesional yang bersesuaian.
Mesyuarat ini turut melibatkan pensyarah, guru bahasa dan staf pentadbiran Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan yang bersama-sama menyumbang pandangan, kepakaran dan pengalaman dalam menyokong perancangan strategik fakulti.
Penglibatan menyeluruh warga fakulti mencerminkan komitmen bersama dalam menjayakan transformasi akademik serta merealisasikan aspirasi fakulti selepas penaiktarafan.
Mesyuarat pada hari kedua turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dan Pengarah Pusat Inovasi & Daya Saing Akademik (PIDA), Profesor Madya Dr. Mohd Anwar Zawawi.

Melalui sinergi warga fakulti, ahli akademik dan pihak industri, Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan komited untuk memperkukuh kualiti program akademik, memperluas peluang kerjasama strategik dan melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menghadapi keperluan dunia pekerjaan masa hadapan.
Disediakan Oleh: Azlina Abdul Mubin, Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan
- 123 views
Reports by: