Program kerjasama UMPSA dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) berjaya memperkasakan pelajar B40 cemerlang dalam peperiksaan SPM
PEKAN, 31 Mac 2026 – Program kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) berjaya meningkatkan kecemerlangan pelajar luar bandar dan menyumbang terhadap kejayaan apabila Pahang muncul antara negeri terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 baru-baru ini.
Usaha ini membuktikan komitmen berterusan pihak YASA dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti secara percuma kepada pelajar luar bandar selaras dengan usaha membina masa depan cerah untuk generasi akan datang.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, komitmen berterusan terutamanya kerajaan negeri Pahang dalam memperkasa sektor pendidikan akhirnya membuahkan hasil apabila negeri Pahang muncul antara negeri terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, dengan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 mata yang mengatasi purata kebangsaan 4.42 mata.
“Kami amat berbangga apabila pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) bagi sekolah bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan.
“Kejayaan sekolah di daerah Pekan yang muncul sebagai pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun ini dengan Gred Purata Daerah (GPD) menunjukkan peningkatan ketara kepada 3.89 berbanding 4.00 pada SPM tahun 2024 menandakan prestasi akademik keseluruhan pelajar semakin berkualiti dan kompetitif.
“Usaha bersepadu memperkasakan sekolah melalui pendekatan sokongan berfokus, pemantauan berimpak tinggi serta sokongan tidak berbelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menerusi YASA berjaya membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik terutamanya bagi inisiatif Pendidikan,” ujarnya.
Katanya, sebagai sebuah universiti teknikal terbaik, UMPSA turut berperanan mengadakan Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA, sebuah inisiatif pendidikan yang bertujuan meningkatkan pemahaman dalam mata pelajaran bagi persediaan sijil pelajaran Malaysia (SPM ) melibatkan seramai 200 orang pelajar dari sekolah-sekolah sekitar Pekan dan Gambang.
“Program ini dianjurkan dengan kerjasama YASA menunjukkan komitmen bersama dalam memperkasa ilmu dan membentuk generasi yang lebih berdaya saing.
“Melalui sesi interaktif dan teknik pembelajaran berkesan, pelajar mendapat bimbingan langsung daripada tenaga pengajar berpengalaman untuk menguasai konsep-konsep penting serta meningkatkan keyakinan dalam menghadapi peperiksaan,” jelasnya.

Beliau mengharapkan program ini akan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang pada masa hadapan manakala kelas yang dijalankan secara bersemuka di dalam dewan kuliah UMPSA dengan pendekatan interaktif yang menekankan pengukuhan konsep dan strategi menjawab soalan peperiksaan memberi keyakinan buat pelajar menghadapi peperiksaan SPM.
Kerjasama dengan YASA dalam program ini mencerminkan usaha kolektif untuk memajukan pendidikan dan memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada peluang pembelajaran yang berkualiti.
Selain Program Tuisyen YASA - UMPSA, UMPSA turut menjayakan program Kembara Lestari (Program Pendidikan) dan Inspire yang diselaras di bawah Yayasan UMPSA membabitkan 23 buah sekolah di seluruh negara sebagai usaha meningkatkan tahap pendidikan masyarakat dalam kalangan B40 dan komuniti luar bandar.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 51 views
Reports by: