Skip to main content

UMPSA dan Hebei University memperluas kolaborasi bakal tawar program ijazah dual

BEIJING, 17 November 2025- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas kerjasama antarabangsa dengan memperkukuh jalinan akademiknya menerusi pelaksanaan program ijazah dualnya dalam bidang Sains Data dan Teknologi Data Raya dengan Hebei University (HBU), China pada masa hadapan. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, perbincangan telah dilaksanakan bagi penawaran program ijazah dual yang dijangka bermula dengan kumpulan pertama pelajar pada semester 2, Sesi Akademik 2025/2026. 

“Kohort pertama dijangka akan berangkat ke HBU sekitar bulan September 2027 iaitu bersamaan dengan semester kelima pengajian mereka. 

“Pertemuan dengan pihak HBU turut nembincangkan keperluan untuk menyelesaikan beberapa perkara teknikal dan pentadbiran bagi memastikan kelancaran proses mobiliti pelajar untuk kedua-dua pihak.

“Selain program ijazah dual, turut dibincangkan kerjasama antara Pusat Sains Matematik (PSM) UMPSA dan College of Mathematics and Information Science, HBU,” ujarnya. 

Lain-lain termasuklah inisiatif Global Classroom, Mobiliti Pelajar (Berkredit dan Tidak Berkredit), Program Profesor Pelawat, Penyeliaan Bersama Pelajar Pascasiswazah serta Permohonan Geran Penyelidikan Bersama. 

UMPSA dan Hebei University memperluas kolaborasi bakal tawar program ijazah dual

Terdahulu, Profesor Dr. Yatimah turut menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah Confucius Institute (CI) yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Hebei University, Profesor Dr. Zhang Yangjian. 

Mesyuarat ini merupakan agenda tahunan bagi membentangkan laporan aktiviti dan kewangan serta perancangan untuk tahun berikutnya. 

Turut sama hadir Dekan PSM, Profesor Madya Dr. Mohd Sham Mohamad dan Pengarah Confucius Institute UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon. 

Dalam pada itu, UMPSA juga telah menubuhkan Chinese Plus Vocational Skils Regional Development Center (Malaysia), sebuah Pusat Pembangunan Serantau Kemahiran Vokasional China-Malaysia hasil kerjasama yang dimeterai UMPSA dengan Center for Language Education and Cooperation (CLEC) dan Hebei University.

Menerusi Institut Confucius, pusat ini bakal menawarkan kursus bahasa Mandarin dengan kemahiran vokasional dan menerokai pelbagai  kursus bahasa Mandarin dengan kemahiran vokasional yang sesuai di Malaysia dan Asia.

Pusat ini juga berperanan dalam membangunkan bahan pengajaran dan latihan dalam bidang tersebut, melatih tenaga pengajar tempatan untuk mengendalikan kursus Mandarin berteraskan TVET, program mobiliti pelajar dan pertukaran staf antara Malaysia dan China. 

Inisiatif ini adalah seiring dengan hasrat UMPSA merealisasikan aspirasi Agenda Pengantarabangsaan UMPSA sebagai Hab TVET Termaju ASEAN. 

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri