Skip to main content

UMPSA dan Pejabat Pendidikan Daerah Pekan bakal laksana program tarik minat pelajar ceburi STEM

PEKAN, 7 Mei 2024 - Pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus menjadi fokus dalam usaha memperkasakan modal insan negara, namun cabaran besar masih membelenggu usaha itu.

Pertemuan antara pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilihat bakal meneroka lebih banyak peluang kerjasama terutamanya dalam Program STEM, lawatan sambil belajar ke UMPSA dan lain-lain program sebagai langkah untuk menarik minat pelajar menceburi bidang STEM.

Hadir mewakili PPD Pekan, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Murid), Zaifol Bahrizan Mohammad Zam, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembelajaran), Norazizi Fain, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Bakat Murid -Sukan), Kamal Hisham Dato’ Haji Ibrahim dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Bakat Murid -Kokurikulum), Mohamad Hazrul Hafiz Mahmad Safian.

Hadir menyambut delegasi, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang juga Menjalankan Fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Menurut Profesor Dr. Yatimah, pihaknya berbangga dengan perkembangan pendidikan pelajar dan meriah kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan bakat dan kemampuan murid-muridnya, tetapi juga usaha gigih dan komitmen tenaga pengajar dalam mengasah kemahiran sains dan teknologi. 

“UMPSA mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dan mengalu-alukan usaha meningkatkan kemenjadian murid-murid untuk terus berjaya menyambung pengajian di peringkat tertinggi,” ujarnya. 

Selain itu, beliau turut berkongsi hasrat UMPSA untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi rantau ini atau ASEAN Advanced TVET Hub dengan memperluaskan kerjasama strategik bersama universiti di Indonesia dan Thailand. 

Katanya, ia pasti memberi manfaat bukan sahaja kepada para pelajar dan staf universiti malahan untuk komuniti setempat. 

Sementara itu, Zaifol Bahrizan berkata, kerjasama bersama UMPSA ini telah terjalin sejak sekian lama terutamanya berkaitan dalam bidang Robotik dan Elektronik.

“Pihak kami juga merancang untuk mengadakan kolaborasi dengan universiti dalam penganjuran program Bahas Ala Parlimen, Festival Seni Tari, Sukan Majlis Sukan Sekolah Pahang dan lain-lain.

“Pasukan Robotik Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan juga pernah mengharumkan nama negara apabila membawa pulang pingat emas dalam kategori Robotik Inovasi Sekolah Rendah di 26th International Robot Olympiad 2024/2025 di Busan, Korea.

“Kejayaan tersebut membuktikan bahawa anak-anak dalam kalangan masyarakat Orang Asli mempunyai potensi yang besar untuk berjaya jika mereka mempunyai keazaman yang tinggi,” ujarnya. 

Justeru, beliau berharap agar lebih ramai murid berminat terhadap robotik selepas ini melalui penganjuran Pertandingan STEM dan lain-lain program.

Turut dibincangkan adalah mengenai Program Aspirasi Varsiti, Program SULAM, Profesor Turun Padang dan program anak angkat melibatkan sekolah di daerah Pekan.

Turut sama hadir Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah, Pengarah Kanan Perkhidmatan Akademik, Ernie Nurazlin Lizam, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abdul Wahit dan Pengurus Pejabat Naib Canselor, Muhammad Faisal Mohd Yasin.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
 

Reports by:
Naqiah Puaad