UMPSA lahir pakar TVET bertaraf global melalui latihan Magnetic Particle Testing (MPT)
PEKAN, 17 Mei 2026 - Seramai 20 orang pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Kursus Kompetensi Magnetic Particle Inspection (MPT) for Industry Readiness yang telah berlangsung di Akademi TVET Termaju (ATVET), UMPSA Pekan.
Kursus ini dianjurkan oleh Akademi TVET Termaju (ATVET) dengan kerjasama FTKMA sebagai usaha memperkukuh kemahiran teknikal pelajar dalam bidang Non-Destructive Testing (NDT), khususnya teknik MPT, selaras dengan keperluan industri serta pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan kompetensi.
Program ini dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang NDT iaitu Pegawai Latihan Vokasional, Ts. Mohd Sazali Salleh dan Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim.
Sepanjang dua hari program, peserta telah mengikuti sesi teori yang merangkumi beberapa topik utama iaitu pengenalan kepada NDT, teori kemagnetan, asas MPT, proses pelaksanaan MPT, serta kod, standard dan spesifikasi industri yang berkaitan.

Pendedahan ini memberi kefahaman menyeluruh kepada pelajar mengenai prinsip dan keperluan industri dalam pelaksanaan ujian tidak musnah.
Selain sesi teori, peserta turut menjalani latihan amali yang merangkumi instruction and procedure writing, pelaksanaan MPT hands-on menggunakan peralatan sebenar, dan penyediaan final report writing mengikut standard industri.
Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teknik pemeriksaan secara langsung, mengenal pasti indikasi kecacatan pada bahan ferromagnetik serta menghasilkan dokumentasi teknikal yang sistematik dan profesional.
Menurut Dekan Akademi TVET Termaju (ATVET), Datuk Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani, program ini merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuh ekosistem latihan berasaskan industri yang selari dengan keperluan semasa.
“Penguasaan kemahiran NDT seperti MPT adalah amat kritikal dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing dan bersedia sepenuhnya untuk keperluan industri global.
“Pendekatan latihan berasaskan amali seperti ini mampu meningkatkan keyakinan, disiplin dan tahap profesionalisme pelajar dalam bidang Kejuruteraan.
“Penganjuran kursus ini juga mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkasakan pendidikan TVET berasaskan industri, meningkatkan kompetensi teknikal pelajar dan memperkukuh kebolehpasaran graduan dalam bidang Kejuruteraan serta NDT,” ujarnya.
Program ini juga berjaya membentuk kemahiran analitikal, disiplin kerja industri dan kesedaran terhadap aspek kualiti serta keselamatan dalam pelaksanaan pemeriksaan teknikal.
Disediakan Oleh: Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim, Akademi Tvet Termaju
- 61 views
Reports by: