Skip to main content

UMPSA martabatkan warisan gurindam dan peribahasa di HELCA 2026

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2026 – Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan (FPBG), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh usaha memartabatkan bahasa Melayu dan warisan persuratan Nusantara dalam Karnival Bahasa Pengajian Tinggi (Higher Education Language Carnival – HELCA) 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 23 Oktober 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM).


Program anjuran Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya bertemakan ‘A Voyage of Languages: Shaping a World without Borders’ itu menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa bagi meraikan kepelbagaian bahasa serta memperluas jaringan kerjasama antara institusi.


Menerusi penglibatan di Reruai Nusantara, UMPSA mengetengahkan dua aktiviti interaktif berasaskan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji, iaitu ‘Jom Beradu Gurindam! Baca, Fahami, Huraikan!’ bagi peserta tempatan dan sesi dwibahasa ‘Jom Beradu Gurindam! How to Play’ yang dirangka khusus untuk pengunjung antarabangsa. 


Tarikan reruai turut diseri dengan penggunaan tulisan Jawi pada poster dan bahan pameran visual.


Selain aktiviti gurindam, UMPSA turut mengedarkan 1,000 penanda buku eksklusif yang memaparkan peribahasa Melayu berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 


Inisiatif ini menonjolkan nilai kebijaksanaan bahasa Melayu yang selari dengan etika kerja TVET seperti ketelitian, kemahiran, kerjasama, ketekunan dan budaya kerja berkualiti.


Guru Bahasa Kanan FPBG UMPSA, Jamilah Bebe Mohamad berkata, pendekatan interaktif ini membolehkan generasi muda serta pelajar antarabangsa menghayati keindahan falsafah persuratan tradisional secara santai. 


“Penerapan peribahasa berunsur TVET membuktikan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi medium yang berkesan dalam menyampaikan nilai etika kerja, di samping membentuk sahsiah dan jati diri profesional,” ujarnya. 


Penyertaan UMPSA di HELCA 2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menyokong pendidikan bahasa yang inklusif serta melahirkan graduan teknikal yang berketerampilan dan berjati diri tinggi. 


Inisiatif ini turut memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berupaya merentas bidang, termasuk sains, teknologi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institusi pendidikan tinggi. 


Usaha ini sekali gus membuktikan bahawa warisan bahasa dan persuratan Melayu bukan sekadar khazanah budaya, malah terus relevan sebagai wahana penyampaian ilmu, pembentukan nilai dan pembangunan masyarakat berpengetahuan.


Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) dan Azlina Abdul Mubin, Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan (FPBG)

 

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri