Skip to main content

UMPSA perkukuh pendidikan fleksibel melalui program Sarjana Kejuruteraan Mekanikal berasaskan stackable degree dan micro-credential

Pekan, 16 Januari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah UMPSA terus memperkasa agenda pendidikan fleksibel apabila Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Micro-Credential (FLEXMC) mengadakan sesi perbincangan awal bersama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Automotif (FTKMA) bagi pembangunan dan penawaran Program Sarjana Kejuruteraan Mekanikal berasaskan pendekatan stackable degree yang disokong oleh penawaran micro-credential.

Menurut Pengarah FLEXMC, Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli, sesi perbincangan ini merupakan langkah strategik di bawah Pelan Strategik UMPSA 30 bagi Kluster Akademik, dengan fokus kepada inovasi kurikulum, pembelajaran sepanjang hayat serta peluasan akses pendidikan tinggi. 

“Pendekatan stackable degree yang dirancang membolehkan pelajar membina kelayakan akademik secara berperingkat melalui pengumpulan micro-credential yang diiktiraf dan disusun secara sistematik ke arah penganugerahan ijazah sarjana.

“Bagi menyokong keperluan pembelajaran fleksibel, mod penyampaian micro-credential untuk program ini akan dilaksanakan melalui pembelajaran dalam talian, pembelajaran teradun serta pembelajaran secara fizikal. 

“Pendekatan pelbagai mod ini membolehkan pelajar dan profesional industri mengikuti pengajian mengikut kesesuaian masa, lokasi dan keperluan pembelajaran masing-masing, tanpa menjejaskan kualiti akademik dan hasil pembelajaran program,” katanya. 

Tambahnya, dalam sesi perbincangan tersebut, pihak FTKMA menyatakan komitmen untuk memastikan reka bentuk Program Sarjana Kejuruteraan Mekanikal yang dibangunkan adalah relevan dengan keperluan industri, berkualiti tinggi serta berimpak kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. 

“Inisiatif ini turut menyumbang kepada pengukuhan ekosistem pendidikan fleksibel UMPSA dan peningkatan daya saing program akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Hasil daripada sesi perbincangan ini, satu pasukan penggerak khas akan dibentuk pada peringkat FTKMA bagi merangka pelan tindakan terperinci ke arah pelaksanaan Program Sarjana Kejuruteraan Mekanikal berasaskan stackable degree melalui pendekatan micro-credential. 

“Pelaksanaan ini akan memastikan penawaran micro-credential disusun secara berstruktur dan berperingkat, seterusnya membolehkan pengumpulan kredit akademik ke arah penganugerahan ijazah sarjana,” ujarnya.

Pendekatan ini dijangka memperluas akses pembelajaran fleksibel, menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta memenuhi keperluan pembangunan kemahiran profesional dan industri selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi UMPSA.

Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli, Mohd Shahri Mohd Akhir, Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Micro-Credential 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri