UMPSA perkukuh program pemasaran pengantarabangsaan di India
INDIA, 5 NOVEMBER 2025 — Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas jalinan kerjasama dan keterlihatan global apabila menyertai program pemasaran Study in Malaysia anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) pada 30 Oktober hingga 5 November 2025 di Kerala Region, India
Program berteraskan promosi pendidikan tinggi Malaysia itu melibatkan penglibatan UMPSA dalam tiga pameran pendidikan di Calicut dan Kochi, selain sesi libat urus melalui taklimat khusus bersama bakal pelajar, pengetua sekolah dan guru kaunselor dari lebih 15 buah sekolah menengah di sekitar wilayah tersebut.
UMPSA telah menyertai pameran pendidikan di tiga lokasi terpilih iaitu Hotel Woodbine Foliage di Kozhikode, Gokulam Grand Hotel di Calicut dan Radisson Blu Hotel di Kochi.
Penyertaan UMPSA dalam program ini diketuai Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan UMPSA, Zainal Bahari, Pensyarah Fakulti Sains Teknologi Industri Profesor Dr. Gaanty Pragas Maniam dan Eksekutif Pusat Perkhidmatan Akademik, Muhammad Zufli Zuhari.
Ia merupakan komitmen UMPSA dalam menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di Malaysia, di samping memperkasa agenda pengantarabangsaan selari dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025.

Menurut Zainal, India merupakan antara pasaran yang mempunyai potensi besar berikutan minat tinggi dalam pengajian di Malaysia khususnya dalam bidang teknikal dan profesional.
“Ramai ibu bapa dan pelajar di India memilih Malaysia kerana faktor keselamatan, persamaan budaya, kos sara hidup yang kompetitif serta kualiti pendidikan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
“Melalui program ini, UMPSA dapat memperkenalkan kelebihan unik universiti, terutamanya kekuatan akademik dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
“Ramai pengunjung memberikan perhatian khusus terhadap lokasi kampus UMPSA di Kuala Lumpur, yang dianggap strategik dengan kemudahan pengangkutan dan akses pelbagai kemudahan bandar raya utama negara,” ujarnya.
Tambahnya, turut disampaikan semasa sesi taklimat ialah peluang pengajian secara remote supervision untuk pelajar bekerja pada peringkat pascasiswazah, yang dilihat mampu menarik lebih ramai golongan profesional India melanjutkan pengajian tanpa menjejaskan kerjaya mereka.
“Pameran tersebut turut berjaya merekodkan lebih 70 prospek pelajar yang menunjukkan minat serius untuk menyambung pengajian pada peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
“Seorang pelajar telah pun mendaftar bagi program Sarjana Sains di UMPSA hasil promosi ini.
“Keputusan awal ini menunjukkan bahawa keterlibatan UMPSA dalam pameran pendidikan antarabangsa memberikan hasil positif dan perlu diteruskan secara lebih agresif serta berstrategi,” ujarnya.
Selain meningkatkan promosi pengambilan pelajar antarabangsa, penyertaan ini juga membuka ruang kerjasama masa depan antara UMPSA, agensi pendidikan antarabangsa serta alumni di India bagi memperluas jaringan pasaran global universiti.
UMPSA terus komited memperkukuh usaha pengantarabangsaan melalui perancangan penyertaan dalam siri pameran dan misi pemasaran seterusnya di Kenya dan Indonesia pada penghujung tahun ini, sebagai usaha berterusan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa memilih UMPSA sebagai destinasi pengajian pilihan pelajar antarabangsa.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Perkhidmatan Akademik
- 39 views
Reports by: