Skip to main content

UMPSA raikan 15 tahun jalinan kerjasama dengan HKA perkasa pengantarabangsaan

KUANTAN, 7 November 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan kejayaan 15 tahun kerjasama strategik bersama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman dalam satu majlis penuh bermakna, UMPSA Nexus Night 2025 yang berlangsung di The Zenith Hotel, Kuantan.
 
Majlis yang turut dihadiri oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar serta rakan industri dan akademia dari dalam dan luar negara itu menyaksikan perhimpunan alumni, ahli German Board of Studies (GBOS) dan wakil Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dalam suasana penuh muhibah dan kebanggaan.
 
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dalam ucapannya menyifatkan pencapaian 15 tahun itu sebagai bukti kematangan, kepercayaan dan keteguhan hubungan antara dua universiti merentas benua yang berkongsi nilai dan aspirasi sama dalam memperkasa pendidikan berimpak global.

UMPSA raikan 15 tahun jalinan kerjasama dengan HKA perkasa pengantarabangsaan

 
“Sejak kerjasama itu dimulakan pada tahun 2010, lebih 400 graduan telah dilahirkan melalui program Ijazah Dual UMPSA–HKA yang menggabungkan ketepatan Kejuruteraan Jerman dengan kreativiti dan daya juang pelajar Malaysia.
 
“Graduan ini bukan sahaja dianugerahksn dengan dua ijazah, tetapi juga dua budaya dan satu semangat perpaduan yang menjadikan mereka jambatan hidup antara Malaysia dan Jerman.
 
“Antara inisiatif berimpak tinggi termasuk DRAIS-3D Project yang melibatkan pelajar dari Jerman, Malaysia dan Ethiopia dalam pembangunan basikal lumba bercetak 3D,” ujarnya.

“Lain-lain sumbangan Muhlbueer Automation Training Kit oleh Muhlbueer Automation (Malaysia) Sdn. Bhd. yang memperkukuh pembelajaran dalam bidang automasi dan robotik,” katanya. 

Jelas beliau lagi, begitu juga dengan pelan jangka panjang bagi pembinaan kemudahan clean room di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik UMPSA untuk penerokaan baharu dalam mikro-teknologi.
 
Profesor Dr. Yatimah turut menzahirkan penghargaan kepada Kedutaan Jerman di Malaysia, rakan industri, ahli GBOS serta kepimpinan universiti atas sokongan dan dedikasi dalam menjayakan kerjasama bersejarah itu.
 
“15 tahun lalu kita bermula dengan harapan.
 
“Kita terus bersama mengharungi cabaran dengan ketabahan dan malam ini kita meraikan kejayaan dengan kebanggaan. Inilah semangat sebenar kerjasama yang membentuk legasi.

“UMPSA komited untuk terus memperkukuh kerjasama tersebut dengan meneroka bidang baharu seperti Pendigitalan, Kejuruteraan Lestari, Teknologi Hijau dan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya. 

Majlis diakhiri dengan suasana penuh mesra antara tetamu kehormat, alumni dan rakan industri yang bersama-sama mengimbau kejayaan lalu serta membina keyakinan baharu untuk masa depan hubungan pendidikan Malaysia–Jerman yang lebih gemilang.

UMPSA raikan 15 tahun jalinan kerjasama dengan HKA perkasa pengantarabangsaan

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim