Skip to main content

Alumni UMPSA teruja kongsi ilmu dalam Bengkel Asas Teater Bersama Rakan Alumni (BATRA)

PEKAN, 8 Januari 2026 – Baru-baru ini telah berlangsung Bengkel Asas Teater Bersama Rakan Alumni (BATRA) 2.0 bertempat di Dewan Peperiksaan Mekanikal, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan. 

BATRA merupakan program baharu anjuran Kelab Senandika dengan kerjasama Pusat Kebudayaan (PusKeb) yang mendekatkan alumni dengan mahasiswa dalam satu sesi berkonsepkan perkongsian ilmu dan pengalaman. 

Seramai 33 orang pelajar dan 12 orang alumni hadir ke program ini. 

Objektif utama program adalah untuk menyediakan keseimbangan antara perkembangan akademik dan bukan akademik melalui penglibatan dalam teater. 

Alumni UMPSA teruja kongsi ilmu dalam Bengkel Asas Teater Bersama Rakan Alumni (BATRA)

Malah, pelaksanaan program ini dapat melatih mahasiswa dalam mengurus dan menyelaras tugasan yang diberikan, sekali gus meningkatkan ciri kepimpinan serta kemahiran insaniah.

Pengarah program, Nur Aina Nafesa Mohd Sakhir berkata, perkongsian ilmu dan pengalaman daripada para alumni telah memberi impak yang sangat positif kepada para peserta.

“Para peserta didedahkan dengan perspektif baharu tentang dunia teater sebenar.

“Saya berasa lebih dihargai, bersemangat dan yakin untuk terus mengembangkan potensi serta memperkukuh penglibatan dalam bidang teater.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas penglibatan dan kesudian para alumni dalam program BATRA 2.0 ini,” ujarnya. 

Katanya, segala perkongsian telah membuka mata dan minda kami betapa pentingnya proses pembentukan dan pemantapan sahsiah, bermula melalui penglibatan aktiviti di universiti dan membantu dalam merancang kerjaya serta masa depan kami. 

“Saya juga berharap agar hubungan dan kolaborasi antara alumni dan pelajar dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sumber inspirasi dan sokongan dalam melahirkan produk UMPSA yang berdaya saing dan berwibawa,” jelas pelajar tahun tiga Fakulti Komputeran itu. 

Manakala bagi wakil alumni pula,  Aizat Abdul Muttalib berpendapat bahawa BATRA 2.0 ini sangat bermanfaat kerana memberi ruang dan pendedahan kepada ahli-ahli Kelab Senandika dari segi perkongsian ilmu mengenai teknik lakonan, pengarahan, pelan, susunan set pentas, dan penggunaan kesan teknikal berdasarkan naskhah yang akan dipentaskan kelak. 

“Pengurusan bengkel yang tersusun, berjaya menggalakkan ahli-ahli Kelab Senandika lebih yakin dan berani memanifestasikan soalan dan idea yang boleh dikembangkan kepada projek-projek akan datang. 

“Secara keseluruhan, bengkel ini memberi impak positif dalam membina bakat seni teater dan pembangunan diri pelajar itu sendiri. 

“Saya berharap agar dengan teknik dan penglibatan dalam produksi teater yang telah dikongsikan, ahli-ahli Kelab Senandika boleh membina personaliti serta perwatakan berkeyakinan apabila menceburi ke dunia industri pekerjaan nanti,” katanya kerika mengakhiri perbualan. 

Aizat merupakan graduan UMPSA pada tahun 2017 dan kini merupakan seorang jurutera di Filternation Sdn. Bhd., Selangor. 

Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Kebudayaan 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri