Lebih 100 alumni UMPSA memeriahkan program Majlis Temu Mesra
KOTA KINABALU, 30 April 2025 - Lebih 100 orang alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari pelbagai sektor kerjaya hadir memeriahkan Majlis Temu Mesra Alumni UMPSA yang berlangsung di The Klagan Hotel, Kota Kinabalu.
Majlis diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Pengarah, Pusat Perhubungan Alumni, Ts. Dr. Azri Alias.
Menurut Profesor Dr. Yatimah dalam ucapannya, program ini merupakan antara usaha Pusat Perhubungan Alumni UMPSA untuk merapatkan ukhuwah dan mengukuhkan rangkaian profesional antara alumni dan universiti, selain berkongsi perkembangan terkini mengenai UMPSA.
“Walaupun alumni UMPSA rata-ratanya masih muda, saya amat berbangga kerana kesemuanya telah menempatkan diri dalam bidang masing-masing dan ramai juga yang sedang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Setakat 4 November 2024, UMPSA mencatatkan seramai 48,378 alumni, merangkumi 47,299 alumni tempatan dan 1,079 alumni antarabangsa.
Beliau turut menekankan peranan alumni dalam Agenda Transformasi Amanat Naib Canselor 2025 yang memberi fokus kepada pembangunan potensi individu dan jaringan strategik fakulti bersama industri.
Ujarnya, Alumni boleh menyumbang secara langsung melalui penglibatan dalam program CSR, perkongsian kepakaran, perundingan penyelidikan, dan tawaran tempat untuk program Work-Based Learning (WBL).
“Sebagai komitmen universiti, sebanyak RM30,000 telah diperuntukkan bagi menjayakan inisiatif dan program alumni melalui Pusat Perhubungan Alumni.
“Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Pusat Perhubungan Alumni termasuk Anugerah Alumni, Hari Alumni, dan program Kembara Mobiliti.
“Tahniah atas pencapaian cemerlang UMPSA dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 99.0% dan kadar bekerja sebanyak 99.1%,” katanya.
Majlis itu turut menjadi medan berharga untuk membina kerjasama yang lebih utuh antara alma mater dan alumni demi kemajuan bersama dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Pada masa yang sama, Profesor Dr. Yatimah turut mengumumkan dengan melantik Alumni UMPSA, Mohd Amin Adran sebagai Duta Alumni di Sabah.
Mohd Amin merupakan graduan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli yang menuntut di UMPSA yang pada ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) dan kini telah mempunyai syarikat sendiri di Sabah.
Profesor Dr. Yatimah mengharapkan agar Amin dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman bersama pelajar-pelajar UMPSA.
Manakala Mohd Amin Adran pula berkata, beliau tidak menyangka dilantik menjadi duta alumni UMPSA di Sabah.
“Niat saya untuk hadir ke program ini adalah untuk mengetahui perkembangan mengenai UMPSA di samping dapat berjumpa rakan-rakan dan pensyarah semasa belajar dahulu.
“Walau bagaimanapun, saya terima penghargaan ini dan bersedia untuk membantu universiti dalam apa jua yang diperlukan.
“Secara jujurnya, saya bangga dengan pencapaian yang universiti miliki sekarang dan berbangga bergelar Alumni UMPSA,” katanya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 196 views